Perak Hari Ini

Sambutan Ulangtahun Hari Kemerdekaan Ke-57 Dirai Sederhana

Bertemakan ‘Malaysia…Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-57 peringkat Perak dirai secara sederhana namun tetap meriah.

Berlangsung di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, dekat Jalan Panglima Bukit Gantang, kira-kira 4,989 peserta mengambil bahagian dalam perarakan perbarisan tahun ini.

Seawal jam 8 pagi, orang ramai sudah memenuhi kawasan itu bagi memeriahkan sambutan tersebut.

Ketibaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkipli.

Acara dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku, menaikkan Jalur Gemilang dan ikrar oleh 100 pelajar sekolah sebagai barisan kior dan peserta yang mewakili pelbagai kaum dan profesion.

Terdahulu, baginda turut melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan Utama Markas 2 Briged yang disertai 132 anggota.

Sebanyak 102 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan tahun ini antaranya seperti Gabungan Tambur Tentera Darat, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Pos Malaysia Berhad, Setiausaha Kerajaan Negeri, pertubuhan sukarela dan Veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, hadirin turut menyaksikan perarakan lebih 18 kontijen kenderaan yang digunakan pelbagai pasukan keselamatan dan jabatan kerajaan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Telekom dan Proton Tanjung Malim.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) turut memperlihatkan keunikan masing-masing dalam perarakan berkenaan yang berakhir sekitar jam 10 pagi.

Menurut salah seorang pengunjung, Siti Rohaiza Rashid, 24, walaupun sambutan ulangtahun kemerdekaan tahun ini disambut secara sederhana namun ia masih mempunyai nilainya yang tersendiri.

Bagi Lee Beng Hwa, 23, sambutan kali ini sangat menarik kerana mempamerkan semangat kemerdekaan yang tersendiri.

“Saya rasa bangga dapat melihat semua bangsa berkumpul hari ini untuk sama-sama menunjukkan semangat cintakan negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");