Jenayah

Premis pamer logo halal palsu

pamer logo palsu

KUANTAN – Gara-gara gagal mendengar nasihat Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebulan lalu, sebuah premis sejuk beku terpaksa melupuskan semua logo halal palsu yang ditampal di premis dan bungkusan produk dengan serta-merta.

Premis yang menjual ayam sejuk beku di Brinchang, Cameron Highlands itu didapati menggunakan logo Halal Malaysia tanpa sijil sah selain menampal logo halal tanpa sijil di bungkusannya.

Ketua Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, sebelum ini, ayam yang dijual di premis sejuk berkenaan mempunyai sijil halal tetapi tidak diperbaharui kerana pusat penyembelihan tiada kelulusan dari pihak berkuasa tempatan.

“Pusat penyembelihan yang menjadi pembekal ayam kepada premis ini tiada kelulusan dan pemilik premis tidak boleh memohon sijil halal kerana bekalannya diragui dan produknya kini diragui halal,” katanya.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, pemilik premis tiada di lokasi dan Jaip meminta pekerjanya menurunkan gegantung (baner) dan menutup logo halal yang dipamerkan di premis serta memadamkan logo pada bungkusan.

Katanya, pemilik premis bukan Islam itu boleh dikenakan tindakan di bawah kesalahan melanggar kata Perihal Dagangan 2011 Perakuan Halal dan Penandaan Halal jika sabit kesalahan.

Pemeriksaan ke atas produk itu dilakukan 10 anggota penguat kuasa dari Jaip, KPDNKK Raub, Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands.

Sementara itu, bagi premis pembungkusan semula buah-buahan jeruk, Noridzuan berkata, logo halal kosong ditampal pada plastik turut diarahkan dibuang serta-merta.

Lebih mengecewakan, katanya, produk jeruk yang diimport dari China, Taiwan dan Thailand sebahagiannya tidak mempunyai tanda halal dari negara asal.

Menurutnya, pemilik premis yang terletak di Tanah Rata itu turut membuat jem di lokasi sama yang diubahsuai menjadi kilang di sebelah rumahnya.

“Jeruk berkenaan memang mempunyai ramai penggemar dan mereka meletakkan logo halal untuk yakinkan pengguna Islam walaupun sudah menerima nasihat sebelum ini,” katanya.
Noridzuan berkata, pemilik premis adalah seorang saudara baru yang berkongsi premis kilang dengan pemilik bukan Islam.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli produk yang tiada logo halal sah kerana peniaga akan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan sikap ambil mudah pembeli.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya menolak produk tanpa logo halal sah kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");