Sukan Hari Ini

Piala Malaysia: Sarawak, T-Team Terkeluar

Pemain Sarawak, Mohamad Rashid Aya diasak oleh pemain Perak, Abdulafees Abdulsalam (kanan) pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Negeri, di Kuching, malam Sabtu.-fotoBERNAMA:-

KUALA LUMPUR: Sarawak dan T-Team terkeluar daripada saingan Piala Malaysia 2014 selepas masing-masing menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan B dan D selepas perlawanan peringkat kumpulan, malam Sabtu.

Di Stadium Negeri, Kuching, tuan rumah Sarawak gagal menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila hanya sekadar seri 1-1 dengan Perak.

Sarawak hanya mampu mengumpul empat mata selepas lima perlawanan dan akan melengkapkan jadual dengan menentang Terengganu, 3 September ini.

Berikutan penyingkiran Sarawak dalam saingan Piala Malaysia musim ini, satu kekecohanan tercetus antara penyokong kedua-dua pasukan apabila ada kalangan penyokong melempar suar dan mercun ke dalam padang.

Pada perlawanan tersebut, Sarawak membuka tirai jaringan menerusi Hairol Mokhtar pada minit ke-59 sebelum Perak menyamakan kedudukan menerusi penyerang import Marco Tulio pada minit ke-77.

Meskipun Perak mengungguli kedudukan teratas kumpulan namun peluang skuad ‘The Bos Gaurus’ ke suku akhir masih belum terjamin apabila berkongsi mata dengan Terengganu manakala Kedah hanya ketinggalan satu mata.

Ketiga-ketiga pasukan itu mempunyai peluang merebut dua slot dalam kumpulan itu ke peringkat suku akhir.

Perak akan berdepan dengan Kedah pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 3 September ini.

Dalam pada itu, Terengganu dan Kedah seri 2-2 di Stadium di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Peteh dijaringkan oleh Ashaari Samsuddin pada minit ke-36 dan Ismail Faruqi Asha’ri (79′) manakala gol bagi Kedah diledakkan oleh Baddrol Bakhtiar (45′) dan pemain import dari Korea Selatan, Namkung Woong (68′).

Dalam saingan kumpulan D, T-Team gagal meneruskan saingan apabila sekadar mengutip tiga mata keseluruhan selepas tewas kepada Sime Darby FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sime Darby mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan pemain import dari Croatia, Mateo Roskam pada minit ke-14 dan Dzulfahmi Abdul Hadi pada minit ke-27.

Bagaimanapun, T-Team merapatkan defisit jaringan menerusi Jimmy Mulisa pada minit ke-50.
Sime Darby masih berpeluang untuk meraih slot kedua kumpulan ke suku akhir apabila mengutip enam mata, di belakang Selangor dengan tujuh mata.

Gergasi Merah hanya mengutip satu mata selepas seri 1-1 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Selangor meraih gol pertama menerusi pemain import dari Indonesia, Andik Andik Vermansah pada minit ke-11 manakala gol penyamaan PDRM disumbangkan oleh Alafi Mahmud pada minit ke-85.
PDRM terlebih dahulu mengesahkan tiket ke suku akhir apabila mencatatkan rekod pungutan mata tertinggi iaitu 13.

Selangor dilihat mempunyai kelebihan untuk meraih slot ke suku akhir apabila dijadualkan menentang T-Team.

Sime Darby perlu meranapkan rekod tanpa kalah PDRM dan mengharapkan Selangor sekurang-kurang seri dalam pertemuan terakhir kumpulan dengan T-Team untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");