Jenayah

Wang deposit sewa rumah lesap, peniaga rugi RM800

wang lesap

IPOH – Seorang peniaga kerugian sebanyak RM800 selepas wang deposit diberikan kepada seorang wanita untuk menyewa sebuah rumah dilesapkan individu itu.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yati, 32, berkata, dia menyedari ditipu wanita terbabit yang mengaku tuan rumah selepas tidak menerima kunci kediaman ingin disewanya itu.

Menurutnya, dia tertarik dengan iklan menawarkan sebuah rumah untuk disewa yang disiarkan dalam internet pada 21 Ogos lalu kerana harga ditawarkan murah serta berhampiran dengan tempat anaknya bersekolah.

Katanya, dia berminat untuk menyewa rumah berkenaan kerana kedudukannya yang hampir dengan sekolah anaknya selain ingin menjadikan rumah itu sebagai transit memandangkan dia bekerja di Ipoh.

“Berdasarkan beberapa iklan rumah dua tingkat empat bilik di kawasan Ampang itu, harganya adalah antara RM450 hingga RM500.

“Rumah ini yang ketiga dan saya terus berminat kerana sewanya cuma RM400, jauh lebih murah dengan tawaran lain sebelum ini,” katanya yang menetap di Batu Gajah.

Yati berkata, dia kemudiannya terus menghubungi seorang wanita yang dikenali sebagai Nana, 34, untuk bertanyakan mengenai proses menyewa rumah berkenaan.

Katanya, pada kira-kira jam 6 petang, 22 Ogos lalu, dia berjumpa dengan Nana yang turut membawa seorang kanak-kanak perempuan didakwa anaknya di rumah tersebut.

“Saya hanya lihat keseluruhan rumah itu dalam tempoh 10 minit kerana Nana mendakwa ada urusan lain.

“Nana turut tawarkan saya untuk menjual rumah tersebut dengan harga RM160,000 memandangkan dia tinggal di situ kira-kira tujuh tahun dan telah membeli rumah itu dengan harga RM98,000,” katanya.

Menurutnya, selepas berbincang dengan suaminya, mereka bersetuju untuk menyewa rumah tersebut dan sekali lagi dia bertemu Nana di sebuah stesen minyak di Ampang pada 25 Ogos jam 4 petang.

Katanya, Nana memintanya membayar wang deposit rumah sewa tersebut namun gagal mengeluarkan resit bayaran dengan alasan dia perlu segera pergi ke Kampar atas urusan kerja.

“Bagaimanapun, dia berjanji akan kembali ke stesen minyak sama untuk memberi resit tetapi sehingga jam 7 petang kelibatnya tidak kelihatan. Ketika itu, saya mula menyedari ditipu,” katanya.

Yati berkata, pada 27 Ogos lalu, sekali lagi Nana berjanji akan memberikan kunci rumah.

“Selepas beberapa kali gagal dapat kunci rumah sewa akhirnya kami bertemu di Taman Sri Botani dan Nana desak kami beri wang RM400 jika ingin kunci rumah.

“Tetapi saya sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan memintanya memulangkan semula wang RM800. Bagaimanapun, dia lari.

“Berikutan itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat pada hari sama dan saya mendapati sudah beberapa individu turut mengalami kes sama sebelum ini,” katanya.

Malah katanya, jiran yang tinggal berhampiran rumah tersebut memberitahunya, Nana bukan pemilik rumah dan dia hanya menyewa di situ sejak tiga bulan lalu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");