Isu Panas

Krisis Politik Selangor: PAS Perlu Keluar Dari Bayang-Bayang PR

Kepimpinan PAS perlu merenung kembali titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta PAS, PKR dan DAP agar mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti sebagai calon Menteri Besar.

Tindakan Tuanku itu sebenarnya boleh menjadi batu loncatan bagi PAS yang ternyata lebih stabil dari segi kepimpinan mentadbir.

Namun, persoalannya adakah kepimpinan PAS cukup berani untuk mengingkari keputusan Majlis Kepimpinan Tertinggi PR untuk memegang jawatan nombor satu negeri terkaya di Malaysia itu?

Mungkin di peringkat awal ada menunjukkan keberanian, mereka namun seperti biasa akhirnya mereka akan menarik balik keberanian itu dan membuat U-Turn.

Mengapakah kepimpinan PAS bertindak sedemikian rupa sedangkan jika dibanding dengan PKR mahupun DAP, parti Islam itu dilihat lebih konsisten.

Kepimpinan PAS perlu keluar daripada ‘bayang-bayang’ rakan sekutunya iaitu PKR dan DAP terutama dalam isu Menteri Besar Selangor selepas PAS berdolak-dalik dalam penerimaan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memegang jawatan itu.

Sekiranya PAS masih manjadi pak turut, maka parti itu akan terus dilihat sebagai satu organisasi boneka yang begitu mudah diperkotak-katikkan.

Kepimpinan parti Islam itu semakin hari semakin mempamerkan pemikiran kurang cerdik jika terus bersikap ‘mengikut’ hanya disebabkan ‘gentleman agreement’ antara parti yang menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada PKR.

Seperti yang semua pihak sedia maklum, jumlah kerusi PAS dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga lebih banyak daripada PKR.

Tetapi, mengapa pemimpin PAS di Selangor masih tetap enggan menggalas tanggungjawab yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum lalu? Mengapa mereka begitu pengecut dan penakut sedangkan terdapat kemungkinan besar Sultan Selangor berpihak kepada mereka?

Jika penolakan jawatan itu adalah disebabkan oleh ‘gentleman agreement’, maka kepimpinan PAS perlu berfikir panjang sama ada mahu meneruskan perjanjian itu atau sebaliknya. Ini kerana Langkah Kajang untuk menyingkirkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semangnya dari dahulu tidak mendapat persetujuan PAS.

Kedegilan PAS untuk akur dengan kehendak PR tidak bermakna parti itu mungkir janji. Walaupun mencalonkan wakil rakyatnya sendiri, namun PAS hanya melaksanakan titah Sultan yang mahu beberapa calon dikemukakan untuk baginda memilih calon berkelayakan bagi menerajui pentadbiran negeri.

PAS perlu berani ke hadapan supaya dapat membuktikan mereka adalah parti yang dinamik dan berkebolehan, bukan sekadar arif dalam urusan agama.

Setakat ini, rekod panjang PAS hanya sebagai menteri besar di Kelantan, negeri yang 90 peratus adalah orang Melayu. Mengapa tidak ambil peluang untuk tunjukkan mereka juga boleh tadbir negeri pelbagai bangsa dan negeri yang menjadi pusat tumpuan negara?

PAS tidak perlu bimbang jika tindakan itu akan menyebabkan PKR dan DAP marah kerana menjadi adat berpolitik pasti ada yang akan membenci.

Namun, apa yang penting adakah PAS telah berlaku adil kepada rakyat yang mengundi mereka?

– Wanchor

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");