Membawang Hari Ini

Mat Rompi cabar Aznil

aznil

Mengisahkan kehidupan seekor katak yang me­ngalami krisis identiti, filem animasi Ribbit yang bakal ditayangkan di pawagam pada Khamis ini pasti tidak mengecewakan penonton cilik serta peminat kartun.

Apatah lagi, selepas animasi pertama terbitan syarikat tempatan Kartun Studios di bawah naungan Kumpulan Syarikat KRU berjaya melakar sejarah apabila merangkul anugerah Filem Keluarga Terbaik pada Niagara Integrated Film Festival (NIFF) yang berlangsung di Kanada pada Jun lalu.

Sesuai untuk tontonan seisi keluarga, Ribbit dihasilkan dalam versi Bahasa Melayu dan Inggeris selain turut ditayang­kan dalam format 3D.

Bagi versi Bahasa Melayu diarahkan Mamat Khalid dan ‘dibintangi’ barisan selebriti tanah air seperti Datuk Aznil Nawawi, Johan Raja Lawak, Awie, Izzue Islam, Elfira Loy, Jihan Muse dan The Glam Girls.

Biarpun pernah menyumbangkan suaranya dalam beberapa animasi sebelum ini, Aznil, 52, mengakui membawa watak Mat Rompi sukar.

“Menghidupkan animasi seekor burung bukanlah sesuatu mudah. Meskipun saya sudah menimba pengalaman menjayakan beberapa animasi sebelum ini, nyata karakter Mat Rompi cukup mencabar.

“Apa yang sukar bagi saya adalah memastikan setiap dialog yang diluahkan perlu seiring dengan gerakan paruh,” katanya.

Menganggap ia satu pengalaman baru, beliau berkata watak Mat Rompi diketengahkan sebagai burung berwarna-warni yang bersikap angkuh dan tidak suka bergaul.

“Di sebalik sikapnya yang sombong, Mat Rompi sebenarnya baik hati dan bantu membawa Ribbit ke tempat yang dituju,” katanya.

Pernah merakam suara bagi filem animasi Bola Kampung The Movie, Smurf dan The Disco Worms, Aznil berkata dia bersetuju untuk meminjam suaranya bagi watak Mat Rompi kerana mempercayai kredibiliti KRU.

“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan KRU dan pernah berlakon dalam filem terbitan syarikat itu antaranya Cicakman dan Magika.

“Selain itu, filem animasi ini mempunyai daya tarikan tersendiri, jalan cerita menarik, latar berwarna-warni dan sesuai ditonton kanak-kanak,” katanya.


Tidak minat berlakon

Walaupun pernah membintangi dalam beberapa filem sebelum ini, Aznil mendedahkan dia sudah tidak berminat untuk berkecimpung dalam bidang itu lagi.

Beliau mendedahkan sukar berlakon secara spontan apabila di depan kamera kerana sudah biasa menjadi pengacara.

“Saya perlu pandang kamera apabila mengendalikan program, tetapi tidak boleh berbuat demikian ketika berlakon. Jadi situasi ini membuatkan saya kekok,” katanya.

Jelas pelakon Cicakman 2 itu lagi, dia juga tidak tahan masa penggambaran yang lama di lokasi set penggambaran.

“Sekiranya diperlukan untuk watak sampingan, saya mungkin terima. Namun, kalau watak besar, saya perlu pertimbangkan dulu,” katanya.

Selain mencipta kejayaan besar dalam bidang seni, Aznil turut aktif dalam kerja amal dan berhasrat menubuhkan rumah kebajikan untuk anak-anak yatim.

“Saya mahu berbakti kepada masyarakat dan melakukan kerja amal secara berperingkat,” katanya.

Ribbit terbitan KRU

Animasi Ribbit terbitan pertama Kartun Studios Sdn Bhd yang juga anak syarikat Kumpulan Syarikat KRU. Pembikinan Ribbit dilakukan di Cyberjaya dan sebahagian produksi animasi dihasilkan di Mumbai, India.

Manakala kerja penterjemahan dilakukan di Hong Kong, sekali gus meletakkan animasi itu sebaris dengan filem antarabangsa.

Buat masa ini, Ribbit berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 80 negara antaranya United Kingdom, Australia, Jepun, China, Korea Selatan, Amerika Selatan serta Timur Tengah.

Selain itu, animasi ini turut menampilkan dua runut bunyi berjudul Destiny nyanyian Supreme I-Self dan J Motiv8. Manakala lagu Magical Moment didendangkan oleh penyanyi popular tanah air, Jaclyn Victor bersama ahli kumpulan R&B, Az Yet.

Sinopsis

Filem komedi animasi ini mengisahkan seekor katak bernama Ribbit yang mengalami masalah identiti. Berbeza dengan katak normal, Ribbit tidak melompat dan sangat membenci air. Merasakan dirinya berbeza dengan haiwan lain, dia sering mempersoalkan mengenai kehidupannya.

Dengan itu, Ribbit mengajak rakan baiknya, seekor tupai terbang mengembara bersamanya untuk mencari kebenaran mengenai dirinya.

Namun masalah timbul apabila Ribbit secara tidak se­ngaja dipukau oleh seekor kelawar yang kaki penipu. Ribbit mempercayai dirinya adalah manusia yang terperangkap dalam badan katak. Dia kemudian menetapkan misi untuk mencium puteri sebenar untuk kembali ke rupa asal.

Bagaimanapun, Ribbit mula menyedari menjadi katak seronok dan cinta hidupnya sebenarnya berada di depan matanya selama ini. Untuk mengetahui kesudahan Ribbit, saksikan filem itu di pawagam seluruh negara mulai Khamis ini.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");