Membawang Hari Ini

Liza baiki diri

liza

Bukan lagi bermimpi, kini juara sulung program Projek Metro yang berlangsung tahun lalu, Khairu Norliza Khairudin atau Liza, 28, semakin marak namanya dalam industri penyiaran tempatan. Kerap muncul mengacarakan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, suaranya turut berkumandang di stesen radio HotFM.

Kehadirannya ternyata mengubah suasana segmen HotFM Jam yang sebelumnya hanya dikendalikan Kieran dan Ikhwan saja. Tidak dinafikan, prestasi anak kelahiran Kuantan, Pahang terbabit tidak mengecewakan bahkan mendapat pujian pendengar.

Bukan senang apatah lagi ha­nya berbekalkan suara, Liza perlu menghidupkan suasana sebaik-baiknya dan harus boleh ‘masuk’ dengan perbualan dua lagi penyampai berkenaan. Mengakui memang sukar, namun, dia akur bahawa dia kena merangkak untuk memperbaiki diri.

“Bukan kena main cakap saja kalau jadi penyampai namun ba­nyak lagi perlu dititikberatkan bagi memastikan penyampaian itu bagus. Untungnya saya, jika ada sebarang kekurangan, Kieran dan Ikhwan akan menegur meskipun kadang-kadang agak tegas tapi saya faham.

“Tidak lain tidak bukan niat mereka semestinya mahu menjadikan saya lebih baik apalagi kami bekerja sebagai satu pasukan. Biarpun mereka jauh lebih berpengalaman, tidak pernah sekalipun saya diketepikan hanya kerana saya baru malah mereka lagi terus memberi motivasi kepada saya,” katanya.

Menetapkan setahun untuk melihat perkembangan serta kemajuan dalam penyampaiannya baik di MHI mahupun HotFM, Liza bagaimanapun tidak akan sekali-kali mahu terperangkap di zon selesa saja. Baginya, berada di zon itu adalah lambang permulaan kepada kejatuhan seseorang jika alpa.

“Saya benar-benar mahu melihat sendiri bagaimana agaknya kebolehan saya selepas setahun terbabit dalam bidang ini kerana tiada maknanya kalau perkembangan itu tidak nampak. Terutama sebagai pengacara, saya kena mencari sesuatu yang menonjolkan jenama saya jika mahu setanding pengacara sedia ada,” katanya.

Yang pasti, bukan saja terikat agenda kerjayanya dalam bidang penyiaran, Liza turut tidak mahu terlepas berbakti kepada orang ramai menerusi amanatnya sebagai duta kepada produk kecantikan Oriderm. Menurutnya, ada sebab dia menerima tawaran itu selain daripada jaminan penjagaan penampilannya.

“Oriderm bukan saja menawarkan kursus kecantikan malah turut mengadakan kursus keusahawanan. Memanglah mulanya saya pun tertarik dengan penjagaan kecantikan yang semestinya saya perlukan apalagi sekarang sentiasa kena jaga penampilan.

“Bagaimanapun, banyak lagi sebenarnya ditawarkan selepas menjadi duta produk berkenaan. Saya dapat berjalan ke sana-sini bukan saja mempromosikan produk semata-mata namun berkongsi pendapat mengenai kerjaya mahupun perkara lain kepada orang di luar sana,” katanya.


Kieran, Ikhwan sayang Liza

Bagi dua jejaka yang tidak asing lagi dalam bidang pengacaraan dan cukup berpengalaman sebagai penyampai radio, mulanya memang canggung buat mereka apabila Liza hadir. Bagaimanapun, jelas perlahan-lahan mereka sendiri terasa gandingan semakin seronok dengan kehadirannya.

Menurut Kieran, pada mula­nya dia agak risau bagaimana hendak mencipta keserasian dengan Liza selepas selama ini sudah terlalu cukup selesa berdua dengan Ikhwan. Apapun, katanya perasaan itu cuma sementara selepas mengenali kesungguhan Liza mahu memperbaiki diri.

“Paling saya risaukan adalah bagaimana dia hendak masuk dengan perbualan dua lelaki yang memang sudah ada rentak tersendiri dan gila-gila. Ternyata, keserasian itu lama-kelamaan semakin kuat apatah lagi Liza sebenarnya seorang yang sangat menyero­nokkan.

“Kesungguhannya yang tidak malu bertanya juga sebenarnya cukup mengagumkan dan kerana itulah kami mudah menyenangi peribadinya,” katanya.

Bagi Ikhwan pula, jika selama ini hanya suara lelaki saja kede­ngaran mengisi segmen itu, kehadiran Liza benar-benar membawa gelombang baru dan jelas penerimaannya dalam kalangan pendengar juga sangat memberangsangkan.

“Barulah bertambah seri apabila ada suara wanita dalam segmen itu yang mana memang sangat bagus juga kerana jika ada sebarang topik dibincangkan, sekurang-kurangnya ada juga pendapat daripada perspektif wanita,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");