Membawang Hari Ini

25 tahun Aznil Nawawi…

aznil

NAMA Datuk Aznil Nawawi dalam arena pengacaraan sememangnya tidak perlu disangkal lagi.

Kemampuannya dalam bergaul dengan lapisan masyarakat menyebabkan dia disenangi dan disayangi terutamanya oleh kanak-kanak yang mesra memanggilnya dengan nama Pak Nil.

Lebih istimewa lagi di dalam bidang pengacaraan, berilah apa sahaja program kepadanya, semuanya berjaya dikemudikan lelaki yang kini menginjak ke usia 52 tahun ini dengan begitu baik.

Biarpun kini sudah banyak pengacara baru yang mewarnai program TV di Malaysia, namun kehadiran Aznil masih mendapat tempat di hati dan program yang dikendalinya kini, Apa Kata Malaysia di Astro turut mendapat sambutan penonton.

Ujar Aznil, setelah 25 tahun berkecimpung di dalam bidang seni, banyak kenangan pahit manis dan jatuh bangun yang sudah dilaluinya.

“Berlakon sudah, menyanyi sudah, mengacara pun sudah. Dari segi kerjaya memang saya dah capai apa yang saya inginkan.

“Bila saya dah buat ketiga-tiga kerja seni itu, saya sedar, kecintaan utama saya adalah pada bidang pengacaraan.

“Kalau berlakon, saya lebih suka tengok skrip dan jadual. Jika saya rasa ada kelapangan, saya akan terima, sebab saya tidak suka duduk di lokasi penggambaran terlalu lama,” ujarnya kepada Zass, baru-baru ini.

Kini sudah 25 tahun berkecimpung dalam industri seni, akui Aznil, masih ada kepuasan yang belum dicapainya.

“Ia bukan setakat kepuasan, tetapi cita-cita saya yang masih belum tercapai, yang ingin saya gapai,” katanya.

Melunas impian

“Salah satu cita-cita saya adalah untuk membuat kebajikan dan kerja amal kepada masyarakat. Saya juga suka buat secara diam-diam dan berkumpulan, dengan Astro umpamanya.

“Malah kalau saya boleh guna nama saya untuk mendapat bantuan yang lebih besar, saya nak ‘ketuk pintu’ syarikat-syarikat korporat gergasi untuk mereka gunakan saya dan kita sama-sama buat kerja amal.

“Kerja amal yang saya fikirkan bukan setakat membantu memberi makan, atau sambutan hari raya tetapi tubuhkan satu yayasan atau bangunan untuk anak yatim seumpamanya,” jelasnya kepada Zass baru-baru ini.

Selain itu ujar Aznil, dia juga kini di dalam proses mendekati pelajar di sekolah-sekolah dan penuntut-penuntut universiti.

“Antara lain impian saya adalah untuk melahirkan anak-anak yang pandai memberi pendapat kerana kalau kita lihat anak-anak sekarang, mereka sangat pasif dan tidak mahu mereka membuka fikiran.

“Bahkan ada sesetengah kanak-kanak sekarang sering diperkecil oleh ibu bapa mereka menyebabkan mereka tidak berani bersuara untuk memberi pendapat.

“Jadi saya bekerjasama dan pergi ke sekolah, universiti untuk berjumpa mereka, mengajar mereka untuk bercakap, memberi pendapat, bertanya soalan.

“Saya mahu mereka menjadi pewaris kepada Negara yang pandai bersuara. Bukan pandai meniru hasil kerja orang lain, meluahkan pendapat di jalanan. Itu adalah antara fokus saya sekarang,” katanya yang sudah bermula secara berperingkat.

Bantu lahirkan pelapis

Selain itu ujar Aznil, dia kini juga dalam perancangan untuk melahirkan lebih ramai pengacara muda melalui program On-Air.

“Alhamdulillah bekas-bekas peserta On-Air musim pertama ramai yang kini mendapat kerja sebagai pengacara seperti Hefny dan peserta On-Air musim kedua saya ketengahkan dalam Hlive.

“Fokus seterusnya saya dalam On-Air musim ketiga untuk melahirkan pengulas dan pengacara sukan yang baik. Ia adalah program berterusan Astro saban tahun selepas ini,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbarunya, Aznil berkata, dia baru selesai menjalani rakaman program masakan, ‘Menantu vs Mertua’.

“Ia merupakan program yang menarik kerana menantu dan mertua akan memasak. Kemudian si suami akan merasa masakan si isteri dan ibunya serta menilai mana yang sedap. Nampak tak adil, tapi sebenarnya ia mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Bahkan lepas selesai menjalani program tersebut, ia memberi idea untuk saya mengendalikan sebuah program bual bicara berasaskan masakan,” katanya yang kini dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah program realiti pencarian.

Senangi KRU

Dalam pada itu, Aznil berkata, filem terbaru yang meminjamkan suaranya, Ribbit bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Katanya selaku penggiat seni, dia amat berbangga dengan kejayaan KRU yang sentiasa bergerak selangkah ke hadapan dalam penghasilan filem-filem di Malaysia.

“Saya bukan nak ampu tapi itulah hakikat iaitu penghasilan filem di bawah KRU Studios sentiasa setapak maju ke hadapan.

“Biarpun ada orang menyamakan hasil kerja mereka dengan hasil produk luar, namun mereka kena pandang dari sudut positif, tidak ramai anak seni tempatan yang berani mengambil risiko.

“Selain itu, Ribbit bukan filem animasi biasa kerana ia diterbitkan dalam versi 3-D dan turut menggunakan suara pelakon luar Negara dan ia adalah produk anak tempatan,” katanya.

Berkongsi pengalaman terlibat dalam proses alih suara, Aznil dalam nada bergurau berkata, dia lebih menyukai watak utama yang menggunakan suara Johan Raja Lawak.

“Saya pelik kenapa KRU tidak pilih saya untuk watak utama (ketawa). Tetapi watak saya sebagai burung enggang bernama Mak Rompi juga menarik kerana dia burung, jadi pergerakan mulutnya tidak banyak.

“Dari segi skrip, saya ada juga ubah ikut kesesuaian tetapi dengan persetujuan Mamat Khalid selaku pengarah,” katanya

‘Ribbit’ sebuah filem animasi 3D yang mengisahkan seekor katak yang mengalami krisis identiti telah memenangi anugerah ‘Filem Keluarga Terbaik’ semasa tayangan perdana dunia di Niagara Integrated Film Festival (NIFF) 2014 yang berlangsung di
Canada pada 21 Jun lalu.

Filem diarahkan oleh Chuck Powers menggunakan suara-suara artis terkenal Hollywood seperti Sean Astin, Tim Curry, Russell Peters dan ramai lagi.

Istimewa untuk penonton Malaysia, filem ini turut diadaptasikan ke dalam Bahasa Malaysia di bawah arahan Mamat Khalid dan menampilkan suara-suara artis tempatan seperti Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Nawawi, Izzue Islam, AR
Badul, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

Sudah mendapat tempahan daripada 80 buah Negara luar, filem ini akan mula ditayangkan pada 4 September.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");