Berita Hari Ini

Sorot Kemerdekaan Negara Menerusi Artifak – Jabatan Muzium

ibrahim ismail

KUALA LUMPUR: Walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 57 tahun, peristiwa bersejarah negara masih dapat disoroti secara berterusan dan akan datang, menerusi artifak.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, artifak kemerdekaan di Jabatan Muzium adalah bersifat bahan-bahan peringatan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Beliau menambah, koleksi syiling peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara dan setem peringatan dan sampul surat hari pertama daripada Pos Malaysia merupakan antara contoh artifak kemerdekaan simpanan Jabatan Muzium.

“Ia adalah artifak. Jika sesuatu yang berkait dengan sesuatu perkara sejarah, kepentingannya amat tinggi kepada negara.

“Walaupun diterbitkan pada hari ini, kita kena simpan untuk rujukan masyarakat di negara ini terutama ia berkaitan dengan hari bersejarah negara.

“Masa kini akan menjadi rujukan akan datang dan koleksi itu merupakan suatu yang amat signifikan, dan ia menjadi bahan bukti menunjukkan ulang tahun kemerdekaan,” katanya kepada mStar Online.

Jabatan Muzium mempunyai kira-kira 500 artifak berkaitan kemerdekaan negara yang dipamerkan secara tetapi mahupun menerusi pameran khas dari semasa ke semasa.

Selain artifak dalam simpanan Jabatan Muzium, artifak berkenaan turut dipinjam sekiranya ia milik individu lain atau waris berkaitan kemerdekaan.

Dalam pameran-pameran khas, Ibrahim berkata, Jabatan Muzium akan meminjam artifak kemerdekaan daripada pihak tertentu berikutan ia merupakan milik peribadi tokoh-tokoh atau disimpan oleh warisnya sekiranya tokoh itu sudah meninggal dunia.

“Kita pinjam, kita pamerkan. Seperti Tan Sri Yuen Yuet Leng yang kita pinjam bahannya untuk dipamerkan dalam pameran khas Wira Tidak Didendang, bagi menunjukkan penglibatan beliau dalam kepolisian dan perjuangannya dalam kemerdekaan,” katanya.

Menurut Ibrahim, kemerdekaan bukan sekadar berkisar tokoh-tokoh sahaja tetapi sebarang kemajuan di negara ini yang dikaitkan dengan peristiwa bermakna itu.

“Mengenai pencapaian, kita bercakap tentang teknologi, inovasi dan kreativiti, tetapi kita lihat susur galur dahulu dapat tunjuk pencapaian pada masa itu,” katanya.

Tambahnya, setiap artifak itu dapat mencatatkan tema, pengisian dan makna sambutan meskipun menerusi ulang tahun pertama kemerdekaan pada 1958.

“Ada juga untuk sambutan 20 tahun, 25 tahun dan lain-lain. Semuanya koleksi yang bermakna dapat ditunjukkan kepada orang ramai.

“Artifak-artifak ini dilihat sebagai sesuatu yang amat dalam konteks kita sebagai rakyat Malaysia yang bukan boleh diambil ringan,” katanya.

Jabatan Muzium mempunyai 22 muzium di seluruh negara termasuk Muzium Negara dan sebanyak 3.6 juta pengunjung disasarkan pada tahun ini.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");