Berita Hari Ini

Usaha masuk lokasi nahas MH17 diteruskan

hishamuddin

SEPANG – [DIKEMASKINI] Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memasuki kawasan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan untuk menyiasat insiden berkenaan dan seterusnya mendapatkan keadilan bagi mangsa MH17.

“Kita akan buat apa yang termampu untuk kembali ke lokasi nahas. Kita mahu siasatan diteruskan bagi mengetahui siapa yang menembak pesawat MH17.

“Tapi ini kawasan peperangan, jadi kalau kita dapat masuk ia satu keajaiban kerana berlaku pertembungan geopolitik yang dahsyat di sana. Kita telah lakukan perkara yang mustahil sebelum ini, jadi kita tidak akan putus asa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri istiadat penghormatan sembilan mangsa MH17 yang tiba di tanah air, pagi tadi.

Menurut beliau, kerajaan juga akan melakukan rundingan dengan pihak berkenaan bagi memastikan usaha tersebut berjalan lancar.

“Perkara ini sensitif dan saya perlu berbincang dengan agensi risikan. Kita juga kena perkukuh hubungan bukan saja dengan negara barat tetapi juga Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), kerajaan Rusia dan Ukraine, puak pemisah serta Amerika Syarikat.

“Tak banyak negara yang mampu mengimbangi kepentingan pelbagai pihak.Tapi kalau kita berpegang kepada janji untuk bawa pulang sebanyak mungkin mangsa MH17 ke tanah air, kita akan lakukan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan turut meneliti kemungkinan untuk memasuki lokasi nahas sekiranya pemberontak Ukranie dan puak pemisah pro-Rusia setuju mengadakan gencatan senjata.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, usaha memasuki lokasi nahas amat penting sekiranya masih ada baki jenazah yang belum ditemui.

“Buat masa ini, kita telah berjaya membawa keluar 587 cebisan dan anggota badan daripada lokasi nahas. Daripada jumlah itu, 183 mayat berjaya dikenal pasti manakala 115 mayat lagi masih belum dikenal pasti.

“Jika semua proses pengecaman identiti telah dilakukan dan ada mangsa yang tidak berjaya dikenalpasti, kemungkinan ia masih ada di lokasi nahas. Jadi, kita masih perlu masuk ke sana bagi mencari yang selebihnya,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi mangsa rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti iaitu Allahyarham Tambi Jiee, 48, akan dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");