Membawang Hari Ini

Jamal Abdillah masih berbisa

jamal

MANTAP dan memukau, biarpun usianya mencecah separuh abad, penyanyi tersohor Datuk Jamal Abdillah masih mampu memberikan persembahan cukup bertenaga sehingga menerima tepukan gemuruh daripada penonton.

Konsert Nostalgia sempena Hari Kemerdekaan yang ke-57 itu berlangsung selama tiga jam bermula jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 28 hingga 31 Ogos lalu.

Konsert itu turut menyaksikan Jamal berkongsi pentas dengan penghibur legenda Indonesia yang juga idolanya, Eddy Silitonga dan anaknya, Osama Yamani buat julung kalinya.

Menerima gelaran Raja Pop Malaysia, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 55, masih lagi mampu mendendangkan lagu-lagu dengan pelbagai genre seperti irama Malaysia, pop, balada dan juga dangdut.

Suara ‘jantan’ miliknya benar-benar terbukti dengan menyanyikan 15 rangkaian lagu tanpa henti sepanjang persembahan berlangsung.

Antara lagu popularnya seperti Azura, Kekasih Awal dan Akhir, Samrah Mentari dan Siti Norbaya yang kekal menjadi siulan sehingga kini.

Walaupun secara bercanda mentakrifkan lagu-lagu itu sebagai segmen ‘membunuh diri’ namun kehebatan vokalnya tidak perlu diragui kerana mampu mendendangkan lagu tanpa sebarang masalah.

Dalam masa yang sama, Jamal turut mendendangkan lagu-lagu yang belum pernah didendang dalam mana-mana konsertnya sebelum ini seperti Juliana, Menanti Kasih, Aku, Bicara Cinta, Secupak Dua Cupak dan Suratan Kasih.

Tidak melupai jasa karyawan terkenal, Jamal turut mendedikasikan rangkaian beberapa buah lagu kepada Datuk Dr Ahmad Nawab yang banyak bekerjasama dengannya sebelum ini.

Manakala lagu-lagu seperti Dimana Bayangan Mu, Sepi Seorang Perindu, Keluhan Perantau dan Antara Yakin dan Curiga disampaikan secara medley dengan iringan penari latar.

Sementara itu, kemunculan artis seberang Eddy, 65, mendapat sorakan gemuruh daripada penonton dengan mendendangkan empat buah lagu iaitu Melati, Fatwa Pujangga, Mama, Kini Ku Sedari dan Lagu Untuk Mu atas permintaan daripada Jamal sendiri.

Menghangatkan lagi pentas dingin itu, lagu solonya iaitu Kurus Kering dan Mata Jeli yang berentak lebih rancak turut dipersembahkan.

Lebih meriah, Eddy turut menjemput tiga puteranya iaitu Mario, Marco dan Dicky untuk sama-sama mengiringinya mendendangkan dua buah lagu iaitu Jatuh Cinta dan Bukan Hidup Hanya Sehari.

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan, Jamal, Eddy dan tetamu istimewa, Elias Shah turut menyampaikan beberapa lagu berunsurkan patriotik seperti Bahtera Merdeka, Di Ambang Sore, Kucupan Azimat, Hujan Semalam, Makan Sirih dan Gelisah.

Malah pemilik suara yang seakan Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Elias turut membuat persembahan secara solo menerusi lagunya Kucupan Azimat, Hujan Semalam dan Makan Sirih.

Walaupun kemunculan anak lelaki sulung Jamal, Osama pada akhir konsert namun ia merupakan persembahan paling dinantikan pada malam itu.

Cukup berbaloi dirasakan dengan persembahan Osama yang sangat memukau dengan kekuatan vokal bernada tinggi menerusi lagu Derita Cerita dan Hingga Tiba Saat Ini (duet bersama Jamal) sebagai penutup tirai konsert nostalgia itu.

Persembahan pada malam itu juga dimeriahkan dengan iringan seramai 14 barisan pemuzik profesional diketuai Raja Sham.

Memperingati MH370 dan MH17

Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) iaitu MH370 dan MH17 yang menimpa negara ini, bagaikan ujian yang amat besar untuk Malaysia.

Bagi memperingati tragedi ini, Jamal turut menyampaikan sebuah lagu istimewa berjudul Agongnya Kecintaan dengan penuh emosi.

Jelas Jamal, konsert tersebut bukan sahaja sekadar untuk berhibur semata-mata tetapi ingin menyampaikan mesej kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.

Bahkan beliau turut menjelaskan bahawa persembahan itu diteruskan walaupun Malaysia sekarang sedang menangisi tragedi yang menimpa kru dan penumpang kedua pesawat malang itu.

Katanya, biarpun ramai artis yang menunda persembahan kerana menghormati Tragedi MH370 dan MH17 namun, beliau tetap meneruskan konsert itu seperti yang dirancangkan sebelum ini.

Tegasnya, konsert nostalgia itu sebenarnya khusus untuk mengisi slot IB sempena Hari Kemerdekaan tahun ini.

“Lagu tribute khas berjudul Agongnya Kecintaan bukan sahaja untuk mengenangkan tragedi pesawat malang itu bahkan untuk kita bersama menghayati mesej yang disampaikan.

“Tidak lupa juga, lagu patriotik seperti Kau Pergi Demi Pertiwi dan Bahtera Merdeka untuk menyelitkan mesej kemerdekaan kepada penonton selepas negara kita mencapai kemerdekaan selama 57 tahun.

“Ingatlah kemerdekaan yang kita kecapi ini bukanlah percuma sebaliknya dengan pengorbanan perajurit negara di perbatasan,” ujarnya yang pernah menjuarai Bintang RTM 1979.

Jamal restu minat anak

Sementara itu, kemunculan istimewa anakandanya bersama di atas pentas penuh prestij itu seolah-olah menunjukkan Jamal ‘merestui’ penglibatan Osama dalam bidang seni.

Menyentuh sedikit mengenai anaknya itu, Jamal berkata Osama sering mengikuti persembahannya sejak berusia enam tahun lagi.

Katanya, pendedahan yang bermula sejak kecil itu mencambahkan minat Osama dalam muzik sehingga dia mampu menguasai instrumen seperti gitar, bass dan drum.

Walaupun mengizinkan penglibatan anaknya itu namun Jamal menegaskan bahawa dia tidak menggalakkan Osama terjun dalam bidang seni lebih awal.

“Umur Osama masih muda (13 tahun) dan mentah untuk terlibat dalam industri.

“Saya mahu dia mengenali selok belok industri dahulu dan mengutamakan pembelajaran berbanding perkara lain,” ujar Jamal.

Tegas Jamal, dia mahu Osama menumpukan pengajiannya di Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum terlibat secara serius dalam nyanyian.

Mengenai penglibatan Osama dalam konsert tersebut, Jamal menjelaskan bahawa ia merupakan saranan daripada rakan-rakannya sendiri.

“Ramai yang mengesyorkan Osama untuk menyertai konsert ini setelah melihat video nyanyian anak saya di YouTube.

“Saya terkejut mulanya kerana tidak tahu Osama mempunyai bakat nyanyian yang terpendam. Dari situlah timbulnya idea untuk menyelitkan nyanyi duet kami berdua di konsert ini,” kata.

Eddy kagumi Jamal

Dapat bersua dengan penyanyi popular Indonesia, Eddy Silitonga ternyata cukup mesra melayan sesiapa sahaja bertemu dengannya.

Murah senyuman dan gemar berjenaka, Eddy nyata seorang yang ‘humble’ dan peramah ketika sesi temu ramah bersama wartawan.

Menyatakan bahawa dia cukup mengagumi vokal Jamal, Eddy menyifatkan Raja Pop itu sebagai seorang yang luar biasa.

“Sebelum ini, saya pernah mendengar suara Jamal pada 1982 ketika di Medan, Indonesia,” katanya yang memulakan perbualan.

Namun begitu, Eddy berkata hanya selepas puluhan tahun, barulah dia berpeluang untuk bertemu dan berkongsi pentas di konsert nostalgia ini bersama anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Sambung Eddy, segala-galanya bermula kira-kira lapan bulan lalu apabila menerima panggilan mengatakan Jamal mahu mengundangnya dalam konsert tersebut.

“Ada pihak menghubungi saya menyatakan jemputan daripada Jamal untuk menyertai persembahan selama empat hari di Malaysia.

“Selepas berfikir panjang, saya terus menerima permintaannya dan akhirnya, kami berduet di pentas IB pada malam ini,” katanya.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");