Sukan Hari Ini

Ronaldo kurang senang polisi perpindahan di Real

Cristiano Ronaldo, Gunino

MADRID: Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo mengkritik tindakan Presiden Real Madrid, Florentino Perez dengan berkata polisi perpindahan digunakan kelab itu akan berubah seandainya dia memegang jawatan terbabit.

Selepas menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-10, musim lalu dengan Ronaldo bergelar penjaring terbanyak pasukannya, Real menjual pemain tengah Xabi Alonso dan Angel Di Maria sebelum membawa masuk Toni Kroos dan James Rodriguez.

Perpindahan Alonso ke Bayern Munich pantas menimbul persoalan sama ada Real memiliki kualiti dan pengalaman di bahagian tengah yang cukup dan ia bertambah ketara selepas kekalahan 4-2 kepada Real Sociedad, Ahad lalu dengan Ronaldo tersisih akibat kecederaan.

“Saya memiliki pendapat yang jelas namun saya tidak boleh sentiasa menyuarakan apa yang saya fikirkan,” kata Ronaldo. “Jika tidak, saya akan berada di muka depan surat khabar esok dan saya tidak mahu perkara itu berlaku.

“Namun jika saya berkuasa, mungkin saya tidak akan melakukan perkara seperti itu. Namun jika Presiden berfikir ia adalah yang terbaik untuk pasukan membeli pemain yang dia inginkan dan membiarkan pemain lain meninggalkan kami, kami perlu menghormati keputusannya.”

PERGERAKAN bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo yang cuba dihalang pemain Cordoba, Gunino ketika aksi La Liga di Santiago Bernabeu.

Komen Ronaldo jelas akan memberi suasana tidak selesa kepada Perez yang sudah menghabiskan jutaan euro untuk membawa masuk beberapa pemain terbaik dunia dan mengubah Real menjadi kelab terkaya di dunia dari sudut pendapatan.

“Dengan pemain-pemain baru, corak permainan akan berubah namun ia boleh berubah menjadi lebih baik atau buru. Saya berharap ia menjadi lebih baik kerana mereka adalah pemain yang berada pada tahap yang amat bagus.

“Adalah sesuatu yang normal buat mereka untuk mengadaptasi dengan baik.

“Di Maria dan Xabi amat penting buat kami namun mereka tidak lagi ada di sini dan kami perlu gembira dengan pemain yang baru. Saya yakin semuanya akan menjadi lebih baik buat kami,” kata bekas pemain Manchester United itu. – REUTERS

-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");