Perak Hari Ini

Sempat Jamah Daging Dendeng, Ayam Masak Merah Dimasak Ibu

Pembantu juruterbang pesawat MH17, Allahyarham Muhammad Firdaus Abdul Rahim sempat menikmati masakan daging dendeng dan ayam masak merah yang dimasak sendiri ibunya pada awal Ramadhan lalu bersama ahli keluarga yang lain.

Menurut abangnya, Muhammad Faizal, 37, Allahyarham meminta ibunya menyediakan juadah itu untuk berbuka puasa di rumahnya di Shah Alam kerana begitu menyukai masakan tersebut.

“Ibu sempat menyediakan masakan kegemaran Allahyarham itu dan kami menikmatinya bersama-sama ahli keluarga yang lain di Shah Alam pada awal Ramadhan lalu.

“Selain itu, Muhammad Firdaus juga paling rapat dengan ibu dan Allahyarham seorang adik yang mengambil berat hal ehwal keluarga kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian Allahyarham Muhammad Firdaus di Tanah Perkuburan Islam Daerah Hilir Perak, dekat Teluk Intan, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Faizal merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan dan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang membantu keluarganya dalam urusan membawa pulang jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus ke tanah air.

Tegasnya, kerjasama baik diberi oleh semua pihak sejak dari hari pertama kejadian hingga urusan pengebumian jenazah yang berjalan dengan lancar.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan dan pengurusan MAS yang banyak membantu keluarga saya dalam urusan membawa pulang jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus.

“Alhamdulillah, semua urusan berjalan dengan lancar hari ini,” tegasnya lagi.

Allahyarham meninggalkan balu, Nor Zarith Zaaba, 27, yang kini mengandung tiga bulan hasil perkahwinan mereka, tahun lalu.

Nor Zarith kini bertugas sebagai jururawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyambut jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus di perkarangan padang awam di Jalan Speedy, dekat Teluk Intan untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Pesawat Eurocopter EC 725 yang menerbangkan jenazah Allahyarham dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selamat mendarat di padang tersebut pada 10.15 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");