Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Akan Kemuka Permohonan Pertukaran Tempat Kerja Nor Zarith

Kerajaan Perak akan berusaha membantu balu pembantu juruterbang pesawat MH17, Nor Zarith Zaaba berpindah ke Teluk Intan agar dapat bersama ahli keluarganya yang kini menetap di Batak Rabit.

Exco kerajaan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sendiri akan berbincang dengan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu balu Allahyarham Muhammad Firdaus Abdul Rahim itu berpindah tempat kerja di Teluk Intan.

Katanya, Nor Zarith mungkin akan ditempatkan sama ada di Hospital Teluk Intan atau mana-mana pusat kesihatan berdekatan.

“Pihak kerajaan negeri akan mengusulkan permohonan kepada Menteri Pendidikan bagi urusan pertukaran tempat kerja bagi balu Allahyarham Muhammad Firdaus, Nor Zarith yang kini bertugas sebagai jururawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dekat Cheras.

“Memandangkan HUKM bukan di bawah Kementerian Kesihatan, maka permohonan itu perlu dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus di Tanah Perkuburan Islam Daerah Hilir Perak, dekat Teluk Intan, hari ini.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus yang pasti akan merasai kehilangan insan tersayang.

Beliau katanya, cukup mengenali ahli keluarga terutama ibu bapa Allahyarham yang pernah menetap di Taman Seri Setia, Jalan Padang Tembak, dekat Teluk Intan.

“Kehilangan Allahyarham pasti dirasai semua dan syukur Alhamdulillah urusan pengebumian jenazah berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menjunjung kasih di atas keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim yang berkenan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus.

“Jenazah Allahyarham diberi penghormatan kerajaan negeri kerana tragedi MH17 cukup menyayat hati,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");