Perak Hari Ini

11 Orang Asli di Perak terima Skim Mikro Kredit

“Dengan pinjaman RM6,000 ini, saya berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan kedai runcit yang beroperasi di RPS Banun sejak lebih setahun lalu,” demikian kata Andak Lembut, penerima Skim Mikro Kredit yang ditawarkan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) tahun ini.

Katanya, ketika ini, hasil jualan boleh mencecah RM200 sehari dan yakin jumlah itu akan meningkat apabila barangan basah turut dijual dikedai runcitnya tidak lama lagi.

“Saya cukup gembira kerana permohonan saya untuk menyertai skim ini diluluskan oleh pihak kerajaan dan berjanji akan menggunakan wang ini sebaik-baiknya untuk mengembangkan perniagaan lagi kedai runcit yang sedia ada,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada Peraktoday.com selepas majlis penyerahan cek Skim Mikro Kredit YBUDR membabitkan tiga penerima Orang Asli dari Daerah Hulu Perak yang disampaikan oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Omar di Ipoh, hari ini.

Selain Andak, dua penerima lain ialah Ghani Uda dan Halim Ngah yang masing-masing mengusahakan perniagaan pengangkutan dan kedai runcit di RPS Banun, dekat Grik.

Sementara itu, Zainal Abidin pada sidang media bersama pemberita berkata, setakat ini, 479 peserta menyertai skim itu dengan kaum Melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 355 orang, Cina (58); India (58) dan Orang Asli (11).

Katanya, skim itu membantu para peserta menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“YBUDR telah membelanjakan RM4 juta untuk menjayakan skim ini yang membabitkan 479 peserta dari seluruh Perak yang terdiri golongan keterbawahan seperti ibu tunggal, Orang Asli dan rakyat miskin yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan serta dibebani dengan tanggungan yang ramai.

“Kita menggalakan golongan keterbawahan ini menceburi bidang perniagaan dengan memohon  pinjaman kepada agensi ini kerana mereka boleh menikmati pulangan yang lebih cepat berbanding dengan mengusahakan projek pertanian.

“Selain itu, peserta yang terpilih juga sentiasa dibimbing dalam bidang keusahawanan melalui program motivasi dan dihantar menyertai pameran atau ekspo bagi membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan” kata Zainal Abidin lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai katanya, digalakkan menggunakan khidmat kiosk untuk mengemukakan permohonan Skim Mikro Kredit yang dillihat begitu mudah dan pantas kerana beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

“Nilai pinjaman yang ditawarkan pula bergantung kepada keperluan si pemohon dan pada masa sama kita juga perlu memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dipilih untuk menyertai skim ini,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");