Perak Hari Ini

Sambutan Hari Lahir & Jamuan Akhir Tahun PKBP SK PINJI

Jamuan akhir tahun kelas pendidikan khas bermasalah pembelajaran (PKBP) Sekolah Kebangsaan Pinji pada tahun ini menjadi lebih istimewa apabila ia diserikan dengan kehadiran Yang DiPertua Badan Amal Dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Saripah Zulkifli bersama beberapa orang lagi ahli BAIDURI.

Seramai 30 murid pendidikan khas telah diraikan di dalam satu majlis ringkas tetapi cukup meriah yang telah diadakan di Hotel Hillcity. Mereka turut ditemani ibu bapa dan guru-guru PKBP SK Pinji. Pelbagai acara menarik telah diatur di sepanjang program tersebut termasuklah majlis sambutan hari lahir, pemberian trofi kepada pemenang pertandingan boling, penyampaian hadiah “Jasamu Dikenang” dan cabutan bertuah.

Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas, Rohana Abdullah; program ini diadakan bagi memberi peluang kepada semua murid-murid PKBP SK Pinji beramah mesra bersama keluarga dan para guru masing-masing. Disamping itu, kesudian ahli-ahli BAIDURI meluangkan masa untuk bersama-sama mereka turut menambahkan keceriaan di hati warga PKBP SK Pinji.

Di dalam ucapan perasmian, Datin Seri Saripah turut melahirkan kekagumannya di atas usaha PKBP SK Pinji mempraktikkan kepelbagaian sudut pendidikan kepada murid-murid pendidikan khas termasuklah terapi renang yang mengambil tempat di kolam renang Majlis Bandaraya Ipoh dan taman tema Lost World of Tambun serta terapi anggota yang diadakan di Taman Botani, Dataran MBI dan Ampang SuperBowl, Ipoh Parade. Selain itu, murid-murid PKBP SK Pinji juga turut diajar cara menggunakan wang secara berhemah melalui program wang saku.

* maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Cikgu Fadzilah Abdullah di talian 013-5211615

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");