Perak Hari Ini

Terowong, jambatan tonjol keunikan PLBE

SATU ketika dahulu kereta api merupakan pengangkutan utama penduduk negara ini. Ia satu-satu jalan perhubungan yang lancar dan selesa dari utara ke selatan dan ke pantai timur semenanjung.

Tetapi apabila Lebuhraya Utara Selatan wujud, penggunaan kereta dan bas menjadi lebih cepat dan mudah. Berkereta dari utara ke selatan tanah air menjadi lebih senang.

Kehadiran lebuh raya itu hampir menjadikan khidmat kereta api sebagai satu nostalgia jika langkah-langkah membaiki perkhidmatannya tidak dilakukan segera.

Bayangkan jika menaiki kereta api ke Butterworth masa yang diambil hampir 10 jam. Tetapi dengan bas hanya kira-kira empat jam.

Sebab itu apabila kerajaan mengumumkan projek menaik taraf perkhidmatan kereta api terutama melalui pembinaan landasan berkembar ia dilihat mampu menjadikan ia pengangkutan pilihan.

Ini terbukti melalui khidmat kereta api elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Ipoh yang pantas dan selesa.

Perjalanan dari ibu negara ke Ipoh menggunakan ETS hanya mengambil masa dua jam sahaja.

Untuk ‘memanjangkan’ khidmat yang pantas dan selesa ini hingga ke utara tanah air, Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) antara Ipoh dan Padang Besar kini sedang giat dalam pembinaan.

Selain bakal menyediakan satu sistem pengangkutan rel yang canggih, projek itu turut menampilkan penggunaan teknologi terkini yang ada antaranya pertama kali digunakan di negara ini.

Bagi syarikat yang bertanggungjawab membina landasan berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (MGJV), mereka bukan sekadar membina satu kemudahan asas. Tetapi melalui projek itu mereka mahu menjadikan pengalaman berkereta api pada masa depan lebih menarik dan selesa.

Sebab itu, ia menampilkan beberapa ciri kejuruteraan yang ada antaranya belum pernah digunakan di negara ini.

Apabila siap, landasan sepanjang 329 kilometer dari Ipoh ke Padang Besar itu bakal menjadi tanda aras baru dalam penyediaan kemudahan rangkaian pengangkutan awam moden di negara ini.

Antara aspek yang bakal menjadi tarikan ialah pembinaan Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak.

Ia merupakan terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara iaitu sejauh 3.3 kilometer dengan ketinggian dan lebarnya masing-masing sembilan meter.

Terowong itu dilengkapkan dengan sembilan laluan keluar untuk tujuan penyenggaraan dan keselamatan.

Kejayaan pembinaan terowong berkenaan cukup penting kepada MGJV kerana ia merupakan fasa yang paling mencabar dan rumit untuk keseluruhan projek tersebut.

“Pembinaan Terowong Berkembar Berapit ini membabitkan banyak cabaran seperti menggali terowong di bawah pergerakan lalu lintas Lebuhraya Utara Selatan dan Jalan Persekutuan,” kata Pengarah Eksekutif MGJV, Ir. Azmi Mat Nor.

Katanya, ia juga membabitkan pengalihan pergerakan lalu lintas kira-kira 1.5 kilometer.

Kini Terowong Berkembar Berapit itu merupakan antara hasil kejuruteraan yang menjadi mercu tanda projek PLBE kerana reka bentuk dan kaedah pembinaan yang unik.

Satu lagi terowong yang dibina dalam projek itu ialah Terowong Larut.

Ia merupakan terowong kereta api elektrik yang pertama di negara ini.

Ini merupakan ciri-ciri kejuruteraan unik pada PLBE yang turut membuktikan keupayaan syarikat pembinaan tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");