Perak Hari Ini

Pelan Pembangunan Pendidikan Bantu Transformasi Negara Rentasi Soal Politik

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam dilihat berupaya melahirkan generasi muda yang berkemahiran serta memiliki nilai moral yang baik, demikian menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya, pelan itu turut memberi petanda baik kepada masa depan pendidikan negara dalam merangka pembangunan generasi muda agar dapat bersaing secara kompetitif hingga ke peringkat antarabangsa.

“Pelan ini dapat memastikan negara berada di landasan yang benar dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, ia juga membantu negara meneruskan transformasi pendidikan merentasi politik.

“Bidang pendidikan bukanlah soal politik kerana yang lebih penting ialah kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berkemahiran tetapi juga dibimbing dengan nilai moral yang baik,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau mengulas pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, semalam.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, pelan itu akan memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa depan yang mencabar.

Melalui pelan itu katanya, kerajaan berharap rakyat terutama generasi muda mempunyai akses yang sama dalam bidang pendidikan berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa; memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai; transformasi keguruan sebagai profesion pilihan; memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah; mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia; transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan; bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas; memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");