shadow

Keadaan pintu belakang yang diumpil empat suspek dalam cubaan samun mesin ATM di sebuah stesen minyak di Kampung Kenangan, semalam.

PUCHONG – Terkejut dengan kehadiran seorang pekerja stesen minyak, empat lelaki gagal melarikan wang dari mesin juruwang automatik dalam premis kedai yang dipecah masuk mereka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, pekerja stesen minyak di Kampung Kenangan berusia 60 tahun itu dikatakan baru memulakan operasi kedai serbaneka stesen yang turut menempatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Ketika hendak membuka pintu kedai, pekerja terbabit dikatakan mendengar suara orang bercakap dan terlihat percikan api dari dalam premis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, curiga apa yang berlaku pekerja itu memerhatikan dari pintu cermin kedai sebelum dia didatangi dua lelaki dari arah belakang yang memakai topi keledar.

Menurutnya, lelaki bersenjatakan sebatang besi itu terus menarik, mengheret dan memijak mangsa sebelum membawanya ke belakang kedai.

Beliau berkata, suspek yang berada bersama mangsa mengarahkan dua lagi rakannya yang berada di dalam keluar melalui pintu belakang.

Menurutnya, kesemua empat suspek kemudiannya melarikan diri dengan dua motosikal yang diletakkan di tepi kedai.

Yahaya berkata, kesemua suspek dipercayai memecah masuk kedai itu melalui pintu belakang yang diumpil mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek sudah memotong sebahagian pintu mesin ATM, tetapi tidak berjaya mengeluarkan wang.

“Dua tong gas  jenis oxy acetelyne berwarna hitam dan coklat, peralatan welding serta sebatang besi dipercayai ditinggalkan suspek di depan mesin ATM selepas perbuatan mereka disedari pekerja itu,” katanya.

Yahaya berkata, kamera litar tertutup (CCTV) disembur cat berwarna hitam, namun dapat merakam pergerakan suspek yang memakai topi keledar.

“Kami difahamkan stesen ini tidak beroperasi 24 jam, ditutup jam 11 malam sebelum memulakan perniagaan pada jam 6 pagi. Siasatan menyeluruh masih dijalankan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

- SINAR HARIAN

Comments

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>