Sukan Hari Ini

‘Baginda ada hak’

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak akan dikenakan sebarang tindakan meskipun mengeluarkan kenyataan mengenai prestasi skuad Harimau Malaya.

Kenyataan baginda itu merupakan pendirian badan induk bola sepak negara.

Menurut Azzuddin, pandangan Tengku Abdullah itu dibuat atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal skuad Harimau Malaya dan baginda berhak untuk menyuarakan pendapat mengenai prestasi skuad negara.

Jelasnya, FAM menganggap pandangan Tengku Abdullah sebagai satu nasihat berguna kepada ketua jurulatih skuad negara, Datuk K. Rajagobal.

“Tengku Abdullah ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Harimau Malaya dan baginda ada kuasa untuk melontarkan pandangan.

“Kita mesti jelas bahawa Tengku Abdullah bercakap atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal yang mana baginda berhak untuk menyuarakan pendapat termasuk mengenai persembahan skuad negara kendalian Rajagobal itu.

“Itu hak Tengku Abdullah,” kata Azzuddin ketika ditemui di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Tengku Abdullah melahirkan kebimbangan mengenai persembahan skuad Malaysia selepas tewas 0-1 kepada Vietnam dan 0-2 di tangan Thailand dalam siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

Baginda menegur dan menasihatkan pengendali Harimau Malaya agar memberikan perhatian lebih serius dalam menyenaraikan kesebelasan utama terbaik sebelum mengharungi Kejohanan Piala Suzuki AFF yang bermula pada 25 November ini.

Bagaimanapun, kenyataan Tengku Abdullah itu mengingatkan kembali banyak pihak kepada kes bekas rakan sejawatan baginda, Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah melanggar artikel 88 peraturan FAM yang menetapkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung boleh mengeluarkan kenyataan kepada media.

Annuar yang merupakan Timbalan Presiden FAM didapati bersalah kerana memberikan kenyataan kepada media mengenai prestasi skuad negara.

Pada 4 April lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu dikenakan hukuman atas dua kesalahan berbeza.

Bagi kesalahan pertama, Annuar didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur negatif mengenai skuad bola sepak negara pada 12 Februari lalu.

Dalam kesalahan kedua, Annuar didakwa melanggar titah Tengku Abdullah dan selepas hukuman tersebut, beliau tidak dibenarkan terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak negara di bawah naungan FAM.

Berdasarkan statut tersebut, hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM berhak untuk menyuarakan pendapat atau pandangan terhadap prestasi skuad negara.

Mengulas lanjut, Azzuddin memberitahu, pandangan Annuar terhadap prestasi skuad negara jauh berbeza jika dibandingkan dengan pendapat Tengku Abdullah.

“Kenyataan Annuar mengaibkan. Titah Tengku Abdullah adalah untuk memberikan nasihat kepada Rajagobal.

“Dalam konteks titah Tengku Abdullah (kelmarin), baginda hanya menegur Rajagobal agar menghentikan eksperimen terhadap skuad negara.

“Sekali lagi saya ingin katakan bahawa Tengku Abdullah mempunyai hak untuk bersuara dan situasi (Annuar) dengan baginda amat berbeza,” katanya.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");