Published On: Mon, Nov 26th, 2012

Mata dan telinga tertumpu pada perhimpunan UMNO di Dewan Merdeka

Share This
Tags

Oleh Hassan Mohd. Noor:-

SAMA seperti bahang pilihan raya umum (PRU) yang semakin terasa, kehangatan Perhimpunan Agung UMNO juga sudah dapat dirasai. Kawasan di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mula dikunjungi anggota-anggota UMNO pelbagai peringkat. Mereka akan berkampung di situ selama lima hari.

Beberapa program menjelang perhimpunan itu juga diadakan di Dewan Merdeka sejak Sabtu lalu. Acara rasmi perhimpunan akan bermula esok dengan Majlis Taklimat Presiden pada sebelah siang dan malamnya berlangsung perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Kepada 2,674 perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO, diucapkan selamat bersidang. Tumpukan perhatian kepada perhimpunan ini yang dianggap sebagai peluang terakhir untuk mereka meningkatkan tekad dan azam menjelang paluan gendang PRU. Di sinilah mereka menentukan sama ada mereka yang menjadi kelompok parti Melayu yang boleh diharapkan oleh orang Melayu mahu berubah atau diubah.

Berakhirnya bulan November ini, maka tidak mungkin PRU akan berlangsung tahun ini. Tumpuan kini beralih ke tahun depan. Mungkin selepas semuanya berhari raya, yang terakhir Tahun Baru Cina. Jika ini menjadi kenyataan, memang benarlah kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak sebelum ini ??kita raya dulu lepas tu pilihan raya??. Bermula dengan desas-desus PRU diadakan sebelum Ramadan, kini kita sudah melepasi Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Deepavali dan akan datang Krismas. Kebanyakan jemaah haji juga sudah kembali ke tanah air. Mereka berpeluang untuk mengundi sekali gus menolak kebimbangan parti pembangkang mengenai anggota parti mereka tidak berpeluang mengundi jika menunaikan haji tahun ini. Semoga tidak ada jemaah yang menyesal kerana menolak untuk menunaikan haji semata-mata bimbang tidak dapat mengundi jika PRU diadakan semasa mereka masih di tanah suci.

Jika PRU diadakan tahun depan, selewat-lewatnya Mac ini (tempoh akhir penggal Dewan Rakyat 24 April 2013), maka tidak ada alasan juga bagi negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor mahu menangguhkan PRU kerana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing semakin menghampiri tarikh akhir. Apa lagi alasan yang mahu diberikan oleh pakatan pembangkang mengenai PRU? Dulu ketika mereka tidak menjadi pemerintah, tidak habis-habis mereka meramalkan mengenai tarikh PRU. Kini keadaan sebaliknya berlaku, mereka tidak mahu tergesa-gesa mengadakan PRU. Kenapa? Takut kehilangan kuasa atau masih banyak janji PRU yang lepas tidak mampu ditunaikan?

Kalau setakat hilang kuasa, itu masih boleh diterima. Menang kalah adat pertandingan, tetapi bagaimana jika tidak mampu melaksanakan janji PRU? Adakah janji yang tidak ditepati ini akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya memenangi semula negeri yang terlepas ke tangan pakatan Pas, DAP dan PKR? Bayangkan beban yang terpaksa digalas oleh BN apabila ada janji yang tidak sepatutnya dijanjikan tetapi dilaksanakan sekadar melepas batuk di tangga atau sekadar ada, yang tidak meliputi seluruh pengundi. Kita tunggu dan lihat.

Kembali ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini, seperti biasa, sudah tentu banyak isu yang akan dibahas – politik, ekonomi, pendidikan dan agama. Semasa berbahas, ada yang tidak mampu menahan emosi, meluahkan yang terbuku di hati sehingga boleh melukakan sahabat-sahabat sama ada di dalam parti atau di luar parti khususnya parti komponen BN. Kata orang, terlajak cakap buruk padahnya, kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Dalam situasi menjelang PRU ini, eloklah perwakilan lebih berhati-hati ketika berhujah. Harus diingat, semua mata dan telinga tertumpu ke Dewan Merdeka. Tersilap cakap, tersilap kata, tersilap berhujah malahan tersilap bergurau akan menjadi isu besar yang menyulitkan.

Kita tahu orang UMNO bukanlah seperti orang Pas atau PKR yang bercakap ikut sedap mulut. Jarang kita mendengar orang UMNO akan menggelar orang lain dengan pelbagai perkataan dan gelaran yang buruk. Jarang kita mendengar orang UMNO memaki hamun musuh politiknya. Orang UMNO masih tahu batas susila mereka sebagai orang Melayu beragama Islam. Mereka tidak mendoakan kehancuran pihak lain. Apa yang penting bagi orang UMNO ialah meneruskan perjuangan menegakkan agama, bangsa dan tanah air. Baru-baru ini ketika Pas mendoakan kehancuran UMNO dan BN serta menggelarkan UMNO murtad, sayap partinya iaitu Pergerakan Pemuda UMNO dan BN bertungkus lumus menganjurkan Karnival Kerjaya atau Job Fair. Menurut Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, karnival itu berjaya menarik perhatian 109,876 anak muda tanpa mengira fahaman politik untuk mencari peluang pekerjaan termasuk 40,187 peluang yang disediakan. Apakah usaha murni UMNO/BN ini perlu dihancurkan? Kepada Pemuda, biarlah apa yang hendak dikatakan oleh Pas kerana Allah maha mengetahui.

Perhimpunan kali ini juga merupakan yang terakhir bagi barisan pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipilih pada 25 dan 26 Mac 2009. Sudah tentu barisan ini mahu kejayaan UMNO dipertahankan.

Bagi setiap anggota parti, perhimpunan kali ini juga bukan lagi masa untuk melobi menjadi calon tetapi mencari jalan bagaimana mahu bekerja membantu Najib mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan merampas kembali negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang.

Berjanjilah di Dewan Merdeka, anggota parti akan menerima siapa sahaja calon boleh menang atau winnable candidate. Ubahlah sikap jika tidak mahu menjadikan 2008 sebagai PRU terakhir BN memerintah. Sudah banyak kenyataan, resolusi, seminar dan macam-macam lagi dilakukan untuk menyedarkan Melayu UMNO ini tetapi adakah sekadar pi mai pi mai tang tu?. Jangan ada musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan atau cakap tak serupa bikin.

Ingatlah pada PRU kali ini, setiap parti politik mahu menang. Semoga langkah ahli-ahli UMNO ke PWTC kali ini tidak sumbang tetapi sumbanglah sesuatu untuk menjadikan PRU ini satu kejayaan. Ingat ucapan Najib Tun Razak pada 21 Oktober 2010: Kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Kepada seluruh anggota UMNO, anda yang menentukan sama ada mahu berubah atau diubah, mahu menang atau kalah.

Selamat berhimpun dan bersidang!

- UTUSAN MALAYSIA

About the Author

Comments

comments

Leave a comment

XHTML: You can use these html tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>