Berita Hari Ini

Beberapa Sungai Di Selangor, Kedah Dan Negeri Sembilan Melebihi Aras Amaran Dan Bahaya

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta penduduk di beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah agar berwaspada kemungkinan banjir berikutan bacaan paras air sungai melebihi aras amaran dan bahaya.

Kawasan terbabit ialah sekitar Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, Jempol, Gemas, Rembau di Negeri Sembilan dan Sik, di Kedah.

Setakat 11.50 pagi, bacaan Sungai Langat di Bukit Changgang di Kuala Langat mencatat 4.02 meter, Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor, 7.45 meter iaitu melebihi aras amaran manakala Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor mencatat 19.07 meter, iaitu melebihi aras bahaya.

Menurut portal JPS, aras Sungai Serting di Serting Ulu di Negeri Sembilan pula mencatatkan 73.62 meter, Sungai Rembau di Titian Bintangor, Rembau (6.40 meter) iaitu melebihi paras amaran manakala Sungai Muar di Pekan Rompin, Gemas, Negeri Sembilan melebihi aras bahaya iaitu 35.98 meter.

Sungai Chepir di Batu 5 di Sik, Kedah mencatatkan 32.86 meter iaitu melebihiaras amaran.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan bilangan mangsa banjir di Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing 18 dan 20 orang.

Dua buah pusat pemindahan dibuka iaitu di Surau Sungai Nilam, Sungai Selisek, Hulu Bernam, Hulu Selangor dan Balai Raya Kampung Batu Kikir Timur, Jempol, Negeri Sembilan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");