Isu Panas

Selangor nak adakan sidang tergempar DUN pinda perlembagaan

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu satu sidang akhbar awal petang Isnin bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor akan mengadakan satu sidang tergempar bagi meminda perlembagaan negeri.

Ini bertujuan mengembalikan kuasa lantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri,Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri kepada kerajaan negeri.

Khalid mengadakan sidang akhbar itu tidak lama selepas mengadap Sultan Selangor selama sejam mulai jam 11 pagi.

Ikut kata Khalid, baginda Sultan telah meminta kerajaan negeri bincang semula dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengenai isu lantikan Khusrin yang masuk pejabat memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pagi Isnin.

Katanya Sultan memberitahunya baginda tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima lantikan yang dibuat oleh SPA.Ini kerana perlembagaan negeri mengenai hal berkenaan dipinda semasa krisis perlembagaan tahun 1993.

Menurut Khalid buat sementara waktu sehingga isu lantikan itu selesai Khusrin dibenar menjalankan tugas-tugas biasa.

Namun beliau tidak dibenarkan hadiri mesyuarat-mesyuarat sulit kerajaan negeri termasuk mesyuarat mingguan Exco.

Mengenai sidang tergempar DUN,Khalid berkata ia hanya dapat diadakan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang kerana ada beberapa hal perlu dibereskan.- 3/1/2011

Khusrin masuk pejabat…Khalid mengadap Sultan

BERITA SEBELUM INI : Disebalik kemelut perlantikannya yang dipertikaikan kerajaan pakatan rakyat di Selangor, Dtuk Mohd Khusrin Munawi masuk ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah seawal jam 6.45 pagi Isnin bagi memulakan tugas barunya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa halangan dan masalah.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pula mengadap Sultan Selangor selama sejam mulai 11 pagi ini berhubung isu pelantikan Mohd Khusrin itu.

Setakat ini tidak diketahui apa ceritanya.Beliau enggan bercakap dengan wartawan yang menunggu dan kata akan buat kenyataan kemudian.- 3/1/2011.

Khalid patut terima nasihat Nizar…

Kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak nampak tanda mahu selesai.

Malah makin panas dengan beberapa kenyataan pemimpin pakatan rakyat termasuk yang sanggup mengecam Sultan Sharafuddin Idris Shah yang perkenan perlantikan bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu.

Tidak keterlaluan jika tindakan ADUN PKR Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang mendakwa pelantikan SUK yang baru sebagai tindakan pilih kasih institusi beraja terhadap pakatan pembangkang dan menyamakan ketegasan Sultan Selangor yang tidak berganjak dengan keputusan itu sebagai ego adalah perbuatan biadap serta cuba menderhaka kepada baginda.

Lebih malang lagi pakar perlembagaan Prof A. Aziz Bari berpendapat peluang terbaik yang ada pada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan kemelut pelantikan SUK itu adalah dengan membawa pertikaian tersebut ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata beliau.

Bagaimanapun. memang tidak menghairankan kerana Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu sebelum ini amat pro dengan perjuangan pakatan rakyat dan sentiasa memberikan kenyataan yang memihak kepada pembangkang.

Beliau tidak mengira jika pandangan itu boleh memberi kesan buruk kepada institusi raja asalkan dapat menyokong perjuangan pembangkang.

Sepatutnya cendiakawan seperti Aziz memilih menyatukan rakyat dengan raja bukan sebaliknya.

Apapun pandangan dan bantahan berterusan pembangkang, Mohd Khusrin tetap akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Khamis ini.

Khalid masih berpeluang untuk menyuarakan rasa kecewanya pada pagi Rabu sewaktu Menteri Besar kebiasaannya mengadap Sultan sebelum mesyuarat Exco.

Namun beliau harus sedar kesannya jika baginda kekal dengan perkenan pelantikan Mohd Khusrin.

Dalam hal ini, Khalid patut dengar nasihat rakannya Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Bekas Menteri Besar Perak itu mengingatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan rakyat kemungkinan berhadapan risiko kehilangan populariti di kalangan orang Melayu dan akan didakwa menderhaka raja ekoran pendirian dalam isu pelantikan itu.

Walaupun Nizar memburukkan UMNO yang kononnya akan mendakwa Menteri Besar itu tidak menghormati peranan Sultan tetapi wakil rakyat PAS itu bercakap atas pengalaman yang beliau lalui.

Nizar kehilangan jawatan menteri besar awal 2009 selepas Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti.

Beliau kemudian didakwa menderhaka Sultan selepas meminta agar DUN dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Nizar juga berkata, pelantikan Khusrin juga sebahagian daripada usaha BN yang menguasai Putrajaya boleh memulakan usaha rampasan kuasa terhadap Selangor sebagaimana berlaku di Perak.

Justeru, Nizar menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendiriannya menolak pelantikan Khusrin kepada rakyat.

Malah Nizar juga menjangkakan isu tersebut tidak akan berakhir dengan memihak kepada Khalid sebagaimana berlaku di Perak apabila beliau cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Isu ini sebenarnya perkara kecil jika tidak dipolitikkan oleh pakatan rakyat Selangor.

Mengapa mereka harus takut dan bimbang dengan pemilihan Mohd Khusrin hingga ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad melihat pelantikan Mohd Khusrin boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya.

Apakah perkara itu bukan tangungjawab Menteri Besar?

Jelas ini semua taktik yang sudah selalu diguna pakai pembangkang.

Jika sesuatu perkara itu tidak memihak kepada mereka, semuanya tidak betul.

Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh komen perkara ini.-2/1/2011

Pakatan Rakyat Selangor ‘buat-buat bodoh’….Lantikan SUK berdasarkan undang-undang tubuh Selangor 1959

Oleh: HELMA HANAFI

Semakin ramai yang angin satu badan dengan sikap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang buat-buat bodoh dalam isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menimbulkan kontroversi.

Ini kerana dah terang-terang sudah tertulis dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, bahawa kuasa Sultan adalah untuk memperkenan melantik Menteri Besar dan Jemaah Exco. Jemaah Exco itu termasuklah SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang negeri.

Sebab itu Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamizun Khairuddin berkata ‘regim’ Khalid Ibrahim ini cuba mempolitikkan segala-galanya dalam menguruskan pentadbiran di negeri tersebut.

“Isu perlantikkan SUK Datuk Khusrin Munawi pula hendak dipolitikkan oleh mereka. Apa kuasa MB ? Adakah lantik SUK itu kuasa MB ? Undang-undang mana yang perlu diikut dalam soal perlantikan ini?,” kata beliau kepada Agendadaily petang Khamis.

Menurutnya, undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, dengan jelas disebut antara kuasa Sultan adalah untuk memperkenan melantik MB dan Jemaah Exco.

“Jemaah Exco itu termasuklah SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang negeri. Ketiga-tiga pegawai kanan Pentadbiran negeri ini merupakan ahli Exco (Ex Officio) kepada Jemaah kabinet negeri yang disebut Exco itu,” kata beliau yang juga merupakan seorang peguam.

Menerangkan lebih lanjut, kata Hamizun, dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 itu juga secara khusus dinyatakan SUK harus dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan.

“Suruhanjaya di sini bermaksud Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Walaupun perkataan “awam” tidak ada disebut, namun ia membawa maksud SPA kerana jawatan SUK itu adalah jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) kanan.”

“Jawatan PTD kanan ini lahir melalui sistem SPA. Ia juga amalan lazim yang sudah diterima sebagai konvensyen kaedah pelantikan SUK di Selangor yang mewarisi sistem pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu.”katanya.

Menurut Hamizun, perkara mustahak yang orang ramai perlu tahu adalah Menteri Besar tidak mempunyai kuasa ke atas pelantikan tersebut.

“Perkenan dan makluman MB tidak perlu diminta. Lantik, perkenan atau maklumkan kepada MB memang tidak disebut dalam undang-undang tubuh Kerajaan Negeri.

“Adakah MB boleh tubuhkan Suruhanjaya ? Jawapannya tidak kerana Suruhanjaya perlu diluluskan oleh Parlimen dengan kelulusan Undang-undang.”

“MB juga tidak ada kuasa di bawah Undang-undang negeri untuk menubuhkan Suruhanjaya,” katanya

Katanya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim “bermain pondok-pondok” dengan mewujudkan “panel” menemuduga bakal SUK.

“Lawak sungguh. Apa dia fikir nak lantik SUK ini macam nak lantik ketua kampung JKKK ke?” katanya ketawa.

Menurut beliau, yang perlu diminta perkenan adalah Sultan, kerana baginda diberi kuasa demikian untuk melantik MB dan Jemaah Exco seperti mana yang disebutkan awal ini.

“Oleh yang demikian mempertikai perkenan Sultan merupakan penderhakaan kepada Institusi Beraja yang sekian lama terlaksana di negeri Selangor ini.”

Jelas beliau lagi, kisah pertikaian perlantikan SUK ini bukan pertama kali berlaku di negeri Selangor.

“Di zaman pemerintahan BN dan semasa Sultan Abd Aziz Shah menjadi Sultan, baginda juga pernah tidak memperkenan perlantikan seorang SUK, yang akhirnya calon SUK tersebut digantikan dengan orang lain,” ujarnya.

Menurut Hamizun, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 merupakan undang-undang yang dinobatkan berpandukan pelbagai dokumen yang mengikat zaman-berzaman.

“Undang-undang ini akan terus mengikat sesiapa sahaja yang menjadi pembesar dan pemerintah di Selangor ini,” jelas beliau.

Kesimpulannya terang Hamizun, Baginda Sultan Selangor tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri, seperti yang digembar-gemburkan oleh juak-juak pakatan pembangkang.

“Baginda cuma melaksana kuasa yang diberikan oleh Undang-undang, agar pentadbiran negeri berjalan dengan lancar, baik dan aman untuk kepentingan rakyat jelata,” katanya.

Perlantikan SUK: Khalid sudah terlajak perahu…

OLEH : ROSLI ISMAIL

Dalam mood bercuti dan santai hujung tahun dan nak masuk tahun baharu ini eloklah kita sama-sama macam kata orang putih sit back and relax …tengok bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat Selangor nak bersilat terhadap perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Ini kerana isu ini kini bukan sahaja melibatkan susur galur perkhidmatan awam tetapi kuasa baginda Sultan Selangor yang telah merestui perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu untuk menjadi ketua ekskutif bagi kakitangan kerajaan negeri.

Hairan, Tan Sri Khalid Ibrahim yang pernah pegang jawatan yang tinggi agensi kerajaan sebagai CEO Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak faham bagaimana peraturan perlantikan ini dibuat.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 adalah jelas dalam hal ini dan begitu juga kuasa Ketua Setiausaha Negara dan Sultan.

Satu dunia tahu Selangor tidak pernah ada entiti perkhidmatan awam yang autonomi sejak dari zaman negara ini merdeka dahulu.

Sejak itu semua perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara dengan restu baginda Sultan.

Mungkin Khalid perlu ambil kursus tunjuk ajar bagaimana nak mentabir negeri dalam bab ini.

Untuk tujuan itu beliau boleh bertanya khabar kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Khir Toyo yang ada di Shah Alam begitu juga Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Kalau segan dengan mereka Tan Sri Abu Hassan Omar pun ada.

Selama ini pun kita tidak pernah dengar cerita semua bekas Menteri Besar ini membantah keputusan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kata orang mungkin itu kerana selama ini Selangor diperintah oleh Barisan Nasional sehingga pilihanraya umum Mac 2008.

Umum tahu sebagai negeri pembangkang, Khalid tentu mahu bos pegawai kerajaan negeri itu yang seratus peratus ikut telunjuknya.

Apapun peraturan tetap peraturan. Itulah yang dipraktikan selama ini di bawah sistem federalisme di Malaysia.

Lagipun sebagai pegawai tinggi kerajaan yang berpengalaman, Khusrin sendiri tentu tahu beliau perlu akur pada government of the day di negeri Selangor yakni Pakatan Rakyat.

Khalid pun tahu Setiausaha Kerajaan Negeri yang akan bersara Datuk Ramli Mahmud dulu pun pernah berkhidmat lama sebagai pegawai tinggi dalam kerajaan Selangor semasa di bawah Barisan Nasional.

Malah semua pegawai tinggi kerajaan negeri baik yang Dipertua Majlis Perbandaran mahupun Pegawai Daerah juga begitu.

Jika nak turut kehendaknya maka Khalid perlu minta fail semua pegawai tinggi kerajaan dari Jabatan Perkhidmatan Awam untuk teliti mereka yang ikut pandangannya ada ‘semangat pembangkang’.

Menteri Besar Selangor itu tentu akan jadi bahan jenaka kalau beliau bertindak macam orang ‘sasau’ begitu.

Apapun seperti kata Dr Khir Toyo pada Utusan Malaysia, Khalid sendiri sudah letak implikasi ke atas tiga nama pegawai kerajaan yang katanya nak disyorkan kepada Sultan Selangor untuk perlantikan.

Dalam ertikata lain – mungkin tanpa kerelaan mereka – tak tentu fasal timbul prejudis dalam circle perkhidmatan awam sendiri terhadap mereka.

Silap haribulan gelap masa depan mereka.

Inilah tahap kebijaksanaan Khalid berpolitik.

Mahu tidak mahu, Khalid kini ibarat orang sudah terlajak perahu kerana membuat protes terbuka dan kata nak mengadap Sultan Selangor untuk minta batalkan perlantikan Khusrin…maka baik kita sama-sama tunggu dan lihat apa yang jadi nanti.

Sultan Selangor kini sedang bercuti dan akan kembali bertugas pada 4 Januari ini.- 29/12/2010

Perang lantikan Setiausaha Kerajaan Negeri pula…

Tak sudah-sudah.Kini kerajaan Pakatan Rakyat Selangor nak berlaga dengan pegawai kerajaan pula.

Malah ada wakil rakyatnya sudah berani tuduh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Sidek Hassan cuba sabotaj kerajaan negeri itu.

Isu terbaru ini berbangkit tidak lama selepas beliau mengumumkan pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru berkuatkuasa 1 Januari depan, pagi Isnin.

Umum tahu adalah menjadi bidang kuasa KSN membuat lantikan pegawai tinggi kerajaan.

Khusrin memang antara pegawai tinggi kerajaan yang senior di Selangor dan dikenali sebagai seorang yang tegas dan ‘ no nonsense’ .

Sebelum ini lantikan Setiausaha Kerajaan Negeri di Selangor tidak pernah jadi masalah.

Soalnya kenapa kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim jadi tak sedap badan pada Khusrin.

Adakah kerana beliau dilihat ‘berlaga pendapat’ dengan kerajaan negeri dalam beberapa isu berhubung penguatkuasaan agama di Selangor.

Di pihak pembangkang ada yang dakwa beliau ‘tak sehaluan’ dengan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Mohd Sidek dalam kenyataan lantikannya memberitahu pelantikan Khusrin telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tentangan terbuka kerajaan negeri mula tersebar apabila pejabat Menteri Besar mengeluarkan kenyataan mendakwa lantikan Khusrin belum muktamad.

Alasannya cadangan melantik Pengarah JAIS itu tidak pernah dimaklumkan oleh KSN kepada Khalid.

“Justeru itu, Menteri Besar telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan petang Isnin.

Menurutnya, selepas sesi temuduga, panel yang ditubuhkan kerajaan negeri sebelum ini memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

“Menteri Besar kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan.

“Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010 (Rabu),” kata kenyataan itu.

Setakat ini, tidak pasti sama ada Khusrin adalah antara tiga nama yang dicadangkan kerajaan negeri kepada Sultan Selangor.

Dalam hal ini, ada yang berpendapat Khalid sepatutnya terbuka menerima pelantikan Khusrin dan bukannya melatah dan mahu mengadap Sultan Selangor bagi mendapatkan kepastian.

Seperti dinyatakan Mohd Sidek, Baginda sudah memperkenan pelantikan Khusrin.

Jadi mengapa Khalid mahu mempersoal perkara itu?

Pasti Sultan Selangor sudah menilai nama-nama yang dikemukakan Khalid juga kerajaan Pusat bagi memilih siapa layak memegang jawatan utama itu.

Khusrin bukan asing kepada Sultan Sharafuddin untuk Baginda membuat pertimbangan bersetuju pelantikan beliau..

Sebagai Ketua Agama, Sultan Selangor sudah lama mengenali Khusrin dan menilai keupayaannya ketika menjawat tugas Pengarah JAIS.

Lojiknya tidak ada salah pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri menggantikan Datuk Ramli Mahmud.

Yang salah mungkin ada sikap buruk sangka dan menilai pemilihan Khusrin satu percaturan politik.-Agenda Daily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");