Kolumnis

Perpaduan Melayu: Tiada maaf bagimu…

Awas kalau nak bercakap mengenai perpaduan Melayu.Nampaknya terkini macam tidak ada benda lain yang lagi lebih jijik dikacamata Parti Islam Semalaysia selain bab itu.

Seikhlas manapun ia pasti akan berbalik kepada bottomline nya yakni survival politik PAS yang tidak mahu ada pihak ketiga yang merobek cinta dan kasih sayangnya pada PKR dan DAP.

Tan Sri Harussani Zakaria harus sedar Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah ulamak dalam kelasnya yang tersendiri yang tidak memerlukan pandangan sesiapa.

Baginya sesiapa sahaja yang cuba menjadi orang tengah berangan-angan nak lihat parti itu mengadakan perbincangan dengan UMNO bersiap sedia kena cop bagai ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Tiada siapa yang boleh buat Tok Guru ini mudah lupa dan terus membebel bagaimana PAS dan UMNO bercerai 32 tahun lampau dan mendakwa kini UMNO nak berkawan denganya semata-mata kerana menyedari kedudukannya menjadi lemah pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Mungkin tidak ramai generasi muda hari ini tahu mengenai sejarah yang Nik Aziz kata PAS kena tendang keluar waktu itu setelah empat tahun bersama BN mulai tahun 1974.

Generasi muda hari ini juga mungkin tidak ingat bagaimana semasa di zaman puncak kuasanya berada dalam UMNO dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pandang parti itu dan hanya berpeluk mesra selepas kes liwatnya yang pertama.

Tak pasti siapa yang kuat dan siapa yang lemah ketika mereka berdakap.

Jangan kata Nik Aziz kerana Lim Kit Siang sendiri macam tak ingat bagaimana Anwar mengata sakan pada DAP masa jadi orang besar UMNO.

Dunia sudah berubah dan begitu juga pentas politik negara.Masing-masing berpeluk mesra kerana dibuai keyakinan merasa Putrajaya sudah tidak jauh.

Makanya tidak hairannya Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang mungkin bimbang PKR dan DAP curiga pada cinta sejatinya tidak sabar-sabar mendesak Harrussani memohon maaf kerana tetap mendakwa Mufti Perak itu membuat kenyataan yang mengelirukan mengenai pertemuan dengan Persuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Baginya Mufti Perak itu telah membuat satu pembohongan yang memalukan.

Kalau mengikut cakap Ahli Parlimen Pokok Sena itu Harussani adalah alat dan pecacai UMNO.

Rasanya tiada siapa perlu melawan cakap para pembesar PAS yang kini sedang diawang-awangan itu.

Anwar dan Kit Siang mungkin tersenyum riang melihat sumpah setia baik Nik Aziz,Mahfuz dan sebilangan tokoh PAS yang senada.

Soal perpaduan Melayu boleh tolak sebelah.Janji cekup Putrajaya dulu.

Apa jadi selepas itu belakang kira walaupun ramai yang terus dihantui kesangsian bagaimana PKR-PAS dan DAP boleh lagi duduk semeja jika ditakdirkan berkuasa satu Malaysia.

Panjang umur…ramai orang yang nak tengok kehebatan PAS yang mendakwa dirinya lebih Islam dari orang lain nak berentap menjayakan cita-cita memartabatkan Negara Islam yang dijualnya sebagai modal politik masa kini.

Nik Aziz dan Mahfuz tahu baik Anwar maupun Kit Siang tidak akan tunduk kepada hajatnya.Cita-cita PAS itu adalah malapetaka politik yang tidak mungkin mereka mahu telan.

Ada juga yang mendakwa gambaran ini tidak lebih untuk menganggu gugat ikatan pakatan pembangkang.

Senang cakap cuba tanya Anwar dan Kit Siang sebelum ‘kena langkah mayat‘ hero Jelutong, Karpal Singh.

Tolak campur bahagi…dilihat dari sudut mana sekalipun cukup senang untuk dibayangkan dan tidak perlu siapa jolok fear factor ini.

Kecualilah siapa tahu waktu itu Nik Aziz dan Mahfuz terlupa mereka pernah gendangkan tetap nak tubuh Negara Islam jika berkuasa pada ahli PAS diserata ceruk.

Dalam politik…jangan terkejut kalau waktu itu nanti tiba-tiba berdesing kita dengar Mahfuz menjerit pembohong besar dan pecacai UMNO siapa yang kata PAS pernah cakap nak tubuh Negara Islam di Malaysia. – 25/7/2010


Hasan Ali akui ada bertemu Harussani tetapi bukan bincang isu perpaduan PAS-UMNO

Pengakuan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali petang Sabtu bahawa beliau pernah menemui Tan Sri Harussani Zakaria tidaklah begitu memeranjatkan.

Ini kerana nama beliau memang sudah masuk dalam senarai spekulasi pembesar PAS yang ada membuat pertemuan dengan Mufti Perak itu.

Soalnya sekarang apakah beliau orangnya yang dimaksudkan oleh Harussani ?

Dicelah kehangatan semua orang ingin tahu siapa identiti pemimpin PAS berkenaan,Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan satu kenyataan mengaku ada bertemu Mufti Perak itu tetapi menafikan dakwaan kononnya ia bertujuan untuk bincang isu perpaduan antara UMNO-PAS.

Hasan berkata pertemuan dengan Harussani diadakan sehari sebelum Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua bulan lalu.

Menurutnya beliau diminta mewakili kerajaan negeri dalam mesyuarat itu dan menjadikan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaannya menghadiri mesyuarat itu.

“Pertemuan yang diadakan dua bulan lepas itu tidak ada agenda sulit, malah diadakan secara terbuka di tempat yang terbuka bagi pihak kerajaan negeri Selangor atas kedudukan saya sebagai anggota exco yang menjaga hal ehwal Islam dan adat Melayu.

“Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan . Oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu,” katanya.

Jika bukan Hasan maka siapa pemimpin PAS itu?

Harussani hanya menyebut pemimpin PAS bertaraf tinggi tetapi tidak menyebut jumlah mereka.

Selain pemimpin PAS,kata Mufti itu ada juga pemimpin UMNO yang datang menemui beliau untuk bincang hal berkenaan.-24/7/2010


UMNO-PAS:Mufti Perak nafi berbohong

“Saya seorang mufti takkanlah saya nak membohong,”kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini sebagai mempertahankan kenyataanya bahawa beliau adanya pemimpin PAS dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti itu.

Beliau yang ditemui wartawan di Putrajaya selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam menafikan dakwaan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar beliau berbohong mengenai pertemuan berkenaan.

“Saya seorang mufti takkanlah saya nak membohong, cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu….jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal.

“Yang penting dia seorang Islam atau tidak…berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya,” katanya.

Mahfuz dan Salahuddin berkata PAS tidak pernah beri kebenaran agar Harussani bertindak sebagai orang tengah antara UMNO dan PAS untuk membawa duduk berama dan berunding.

Harussani berkata pertemuan itu memang berlaku, walaupun wakil yang datang bertemu dengannya itu bukan dihantar oleh PAS secara rasmi.

Katanya pemimpin PAS yang datang itu bertaraf tinggi dan ada juga pemimpin UMNO yang bertaraf tinggi juga datang berjumpa beliau.

“Saya pun tidak faham.. pertemuan itu semata-mata untuk pertahankan Islam dan orang Melayu, kenapa sampai nak tuduh macam-macam dan yang marah sangat kenapa,” katanya.

Harussani berkata beliau bercakap untuk kepentingan orang Melayu dan Islam kerana jika orang Melayu berpecah, Islam juga akan hancur.-20/7/2010


Harussani mahu satukan orang Melayu

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti UMNO dan PAS.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (UMNO dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh Sabtu.

Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Bernama melaporkan bagi mencapai perpaduan, beliau berkata pemimpin yang beragama akan memahami erti perpaduan yang akan membawa ke arah kebaikan.

“Adakah agama menganjurkan kita mengamalkan sikap degil. Sifat degil merupakan satu perbuatan keji dalam agama kerana ia tidak menguntungkan rakyat. Mereka perlu sedar perkara ini,” katanya.

Semasa merasmikan majlis tersebut, Harussani berkata sekiranya umat Islam hanya setakat berbeza pendapat, ia merupakan rahmat kerana perbezaan itu boleh membawa kepada kemajuan.

“Namun kini umat Islam bukan sahaja berbeza pendapat malah berpecah belah yang akhirnya boleh membawa kepada kehancuran mereka,” katanya.

Beliau berkata umat Islam kini, termasuk golongan akar umbi, pertengahan, pemimpin malah kumpulan agama telah tersalah menilai dan tidak tahu meletakkan keutamaan dan kepentingan mereka.

“Contohnya, bangsa lain mengutamakan pendidikan tetapi kita (umat Islam) mengutamakan hiburan. Dalam pendidikan pula, kita lebih mengutamakan akademik daripada agama Islam.

Agama diutamakan sebagai pelajaran dan bukan sebagai didikan. Kalau dari segi pelajaran agama, orang Yahudi dan Barat sebenarnya lebih pandai mengenai agama Islam daripada kita sendiri,” tegas beliau.-17/7/2010

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");