Perak Hari Ini

Tok Batin Perak Bakal Terima Elaun

IPOH 19 Julai – Elaun tok batin di negeri ini yang berjumlah RM200 sebulan akan dinaikkan bermula tahun depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Cadangan kenaikan elaun tersebut, katanya, akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 3 Ogos ini.

”Kerajaan negeri akan memberikan elaun tambahan kepada semua tok batin Orang Asli di negeri ini yang selama ini menjalankan tugas sebagai ketua kampung dalam Bajet 2011 yang akan dibentang pada 3 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Zambry, elaun tok batin yang diterima daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) itu perlu ditambah bagi tujuan mewujudkan kesaksamaan antara ketua kampung dan tok batin yang mempunyai peranan yang sama.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, maklum balas yang diterima daripada kalangan tok batin menunjukkan mereka berpuas hati dengan pendekatan yang digunakan untuk membangunkan kaum itu.

”Sekarang masalah yang dihadapi lebih mudah ditangani apabila kita telah melantik seorang wakil mereka sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak,” kata Zambry.

Seramai 200 tok batin menyertai seminar dua hari anjuran Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) itu.

Seminar tersebut bertujuan memperkasakan kepimpinan di kalangan masyarakat Orang Asli di samping berperanan menjadi platform membincangkan serta mengenal pasti isu kemiskinan membabitkan golongan tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");