Berita Hari Ini
Like

Ada pengakuan doa khutbah Jumaat sebut nama Guan Eng berlaku

August 21, 2010
434 Views
4 Comments
6 minutes read
Ada pengakuan doa khutbah Jumaat sebut nama Guan Eng berlaku

Istilah fitnah nampaknya tidak boleh digunakan dalam isu ini melainkan ia tidak berlaku langsung.

Setakat ini beberapa pihak sudah tampil mengakui memang berlaku kejadian menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa dalam khutbah solat Jumaat di Pulau Pinang seperti didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Khamis.

Sebaliknya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah awal-awal mengeluarkan kenyataan Jumaat mendakwa ia fitnah terbaru UMNO yang semakin terdesak.

Dakwanya tuduhan mengenai doa khutbah itu tidak berasas samasekali.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang ,Abdul Malik Kassim pula berkata siasatan pihaknya mendapati tiada mana-mana masjid melakukan doa dalam khutbah Jumaat yang menyebut nama Lim seperti yang didakwa itu.

Katanya, teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan tidak pernah menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan teks khutbah itu memang guna nama Yang di-Pertuan Agong.

Tak kiralah apa puncanya atau bagaimana…isunya ialah kejadian seperti didakwa oleh Zahid itu betul-betul berlaku.

Soalnya kalau tidak ada kejadian langsung bagaimana dua ahli kariah dari dua buah masjid berbeza di Pulau Pinang dilaporkan mengesahkan berlaku penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat.

Utusan Malaysia memetik pengakuan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di Tasek Gelugor , Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail.

Hamir mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu.

Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.

”Rakan-rakan kariah masjid ada menjemput dia (Zakaria) untuk memberi khutbah dan kita tiada halangan.

“Kalau ditanya mengenai isu ini, kita memang akui nama ketua menteri memang ada disebut dalam doa khutbah.

”Nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut langsung tetapi ingin saya tegaskan bahawa pihak kariah sendiri tidak membuat apa-apa arahan atau permintaan supaya nama ketua menteri disebut dalam doa khutbah,” katanya.

Hamir menambah, jawatakuasa kariah mempertahankan penggunaan nama Guan Eng dalam doa khutbah kerana mendakwa ia bertujuan memohon kepada Allah supaya Setiausaha Agung DAP itu diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam.

Ditanya kenapa nama Guan Eng disebut dalam doa berkenaan tetapi tidak nama Yang di-Pertuan Agong, Hamir menjelaskan, beliau sendiri tidak pasti kerana dalam teks doa tertera nama Tuanku Mizan.

“Mungkin dia (Zakaria) terlupa sebab dia pun dari Perak bukan dari sini,” ujarnya..

Hamir juga mengakui kejadian itu menyebabkan pihaknya dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Seberang Perai Utara (SPU) untuk memberi penjelasan.

Sementara itu, Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelutong memberitahu, perkara sama turut berlaku di masjid di kawasannya kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.

Menurutnya, khatib ketika itu hanya menyebut nama Guan Eng dalam doanya dan bukan Tuanku Mizan atau Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.

Menceritakan keadaan ketika itu, beliau menjelaskan, para jemaah agak tergamam apabila mendengar khatib membacakan bacaan doa berkenaan.

“Ada dalam kalangan jemaah berpandangan di antara satu sama lain dan tertanya-tanya mengenai kejadian itu.

“Kenapa khatib tidak menyebut nama kedua-dua pemimpin utama ini sedangkan nama Guan Eng disebut, itu yang kita tidak pasti,” katanya.

Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak sendiri mengakui khatib ada menyebut nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.

Beliau menjelaskan, khatib berkenaan bukannya mendoakan kesejahteraan Guan Eng dunia dan akhirat kerana perkara itu adalah salah.

Ibrahim juga mengakui nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukannya.

”Isu penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat berpunca daripada salah faham di kalangan jemaah sendiri.

”Ramai di kalangan mereka tidak faham mengenai doa yang dibacakan oleh khatib jemputan pada hari berkenaan.

“Ada jemaah yang tak faham bahasa Arab, salah faham tentang maksud doa yang dibacakan itu,’ katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Shabudin Yahaya dipetik memberitahu Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang telah menerima sebanyak lima aduan berhubung bacaan doa dalam khutbah solat Jumaat yang menyebut nama Guan Eng.

Katanya berkata, aduan itu dibuat oleh jemaah di lima buah masjid di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Georgetown.

Menurutnya, aduan itu menyatakan khatib bertugas hanya menyebut nama Guan Eng dan bukannya nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa pada khutbah kedua.

“Khatib sepatutnya menggunakan teks khutbah yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk solat Jumaat dan tidak mengubah sesuka hati isi kandungannya.

“Bagaimanapun, banyak masjid yang dikuasai penyokong dan ahli Pas enggan menggunakan teks yang disediakan tetapi menggunakan teks mereka sendiri,” katanya .

Shabudin turut menggesa MAIPP dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menyiasat perkara berkenaan bagi mengelak daripada berulang.- 21/8/2010

Komen & Pendapat

4 Comments

Leave a Reply