Berita Hari Ini
Like

Hudud: Ustaz Karpal “belasah” Nik Aziz!

August 23, 2010
888 Views
0 Comments
8 minutes read
Hudud: Ustaz Karpal “belasah” Nik Aziz!

Dilaporkan baru-baru ini, Karpal sekali lagi menempelak Tok Guru PAS, Nik Aziz berkenaan hudud PAS. Karpal dalam kenyataannya mengulas akan saranan Nik Aziz supaya meminda undang-undang sivil dan menggantikannya dengan undang-undang hudud. Menurut Nik Aziz, dengan menggantikan undang-undang sivil dengan undang-undang hudud, maka ianya adalah kaedah terbaik untuk menangani masalah jenayah dan sosial. Memandangkan soal ini membabitkan undang-undang jenayah Islam, maka sebagai seorang anti-Islam, Karpal membidas Nik Aziz sebagai seorang yang “buta” tentang undang-undang dan perlembagaan negara.

Menurut Karpal yang kononnya seorang peguam yang “pakar” tentang undang-undang di Malaysia, “Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” katanya. Selain itu, Karpal tidak bersetuju dengan hukuman mati terhadap kesalahan kes buang bayi dan padanya, adalah lebih baik menubuhkan satu suruhanjaya bagi mengenal pasti masalah ini.

Begitulah apabila dua orang politik yang kononnya mempunyai dasar yang sama memberikan cadangan peribadi masing-masing mengikut ilmu masing-masing. Seorang Tok Guru PAS mencadangkan hudud, manakala seorang peguam mencadangkan penubuhan suruhanjaya.

Pada saya, memang benar saranan Nik Aziz itu. Undang-undang jenayah hudud Islam sememangnya dapat menangani masalah jenayah dan sosial di negara ini. Namun, tahukah PAS apakah itu undang-undang jenayah hudud menurut Islam? Apakah setakat mengemukakan 4 orang saksi sebagaimana yang dicanang selama ini? Cuba kaji semula draf undang-undang hudud yang PAS kemukakan untuk diluluskan dan berapa kali Nik Aziz dan cerdik pandai PAS Kelantan terpaksa “revise” semula draf tersebut. Kenapa perlu di “revise” berkali-kali? Ini adalah kerana mereka cetek ilmu untuk membuat draf hudud yang jami’q mani’q dan bersesuaian dengan peredaran zaman millenium ini.

Kita mengambil contoh yang dikemukakan oleh mantan Mufti Perlis, Ustaz Asri. Seorang gadis telah dirogol oleh seorang pemuda bukan Islam. Menurut hudud yang dikemukakan PAS, gadis itu perlu mengemukakan 4 orang saksi yang tidak fasikh untuk menyokong dakwaannya. Jika tidak, gadis itu akan disebat dengan puluhan rotan kerana membuat tuduhan palsu. Jadi, jika gadis itu diculik dan dirogol di dalam sebuah bilik tertutup, dan hanya mereka berdua sahaja yang ada, dari mana gadis itu mahu mencari saksi untuk mendakwa lelaki tersebut. Tambahan pula, saksi yang diperlukan itu pula mestilah melihat sendiri bagaimana berlakukan kemasukan zakar ke dalam kemaluan gadis tersebut. Sampai matilah gadis itu takkan punya saksi untuk menyokong kesnya. Dari itu, di mana keadilan yang diterjemahkan melalui hudud ciptaan PAS itu? Lagi pula di zaman sekarang ini, cukup payah mencari seorang muslim yang tidak fasikh. Tahu tentang erti ”fasikh”? Cari sendiri.

Mengambil contoh di atas, masyarakat Malaysia yang berbilang agama ini akan tertanya-tanya, malah berkemungkinan mereka akan menganggap bahawa hudud Islam ini tidak adil sama sekali. Sekaligus, ini akan mencerminkan ketidak adilan Islam dalam menangani soal jenayah. Perbuatan PAS ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama Islam di mata orang bukan Islam. Memang benar “niat”nya cantik dan murni, namun cara dan perlaksanaannya ternyata salah sama sekali. PAS berdegar-degar berceramah berbicara soal hudud, namun hudud yang mereka jaja itu hanyalah soal kepentingan politik bagi memancing undi umat Islam, sedangkan mereka sendiri tidak tahu tentang soal hudud Islam yang sebenar.

Apa salahnya jika tujuan murni PAS ini didahulukan dengan ijma’k ulama sedunia. Bersyura dan tubuhkanlah satu jawatankuasa sedunia untuk mengkaji draf hudud yang bersesuaian dengan zaman ini. Mulakan dengan ikhlas tanpa sebarang kepentingan. Bila wujudnya satu perangkaan undang-undang jenayah hudud Islam yang diiktiraf seluruh jumhur ulama mu’ktabar dunia, maka bawalah pulang untuk dibincangkan bersama pihak Kerajaan untuk perlaksanaannya. Usah bicara soal hudud jika hanya mahu menjual undang-undang Allah itu. Saya sendiri tidak mendalam pengetahuan tentang Islam, namun saya rasa jijik apabila hudud Allah itu diperniagakan sebegitu rupa oleh PAS.

Karpal, sebagai seorang “pakar” undang-undang tentunya tidak tahu bahawa Malaysia sudah lama melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia. Cuma terdapat beberapa perbezaan tentang perlaksanaannya dan hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang Syari’ah negara. Cuba Karpal buka buku semula dan rujuk kepada enakmen jenayah di mahkamah syari’ah, tentu Karpal akan terpegun. Tapi, benarlah, Karpal adalah orang bukan Islam, apalah yang dia tahu tentang dhauk undang-undang Islam. Atas kertas bolehlah dia temberang, namun dia sendiri tidak tahu tentang Kerajaan yang telah meletakkan undang-undang hudud di dalam institusi perundangan Syari’ah di Malaysia. Contohnya, “Qazaf”.

Seperkara lagi, perlembagaan negara itu adalah ciptaan manusia. Dan setiap ciptaan manusia itu tidak kekal dan boleh diubah-ubah. Sudah berkali-kali undang-undang dipinda untuk manfaat dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat negara kita. Apa salahnya jika kita sudah ada draf hudud yang disepakati ulama’ mu’ktabar sedunia dan dibahaskan di Dewan Negara untuk diimplimentasikan? Mungkin itu adalah untuk kepentingan negara secara umum untuk menangani masalah jenayah dan sosial yang semakin serius. Tidak salah dipinda perlembagaan itu demi kepentingan negara dan rakyat, bukan?

Soal negara sekular tidak boleh menggunakan undang-undang lain selain undang-undang sivil juga tidak timbul sebenarnya. Sekular atau tidak, ianya tidak menggariskan apa yang boleh dibuata oleh Kerajaan Persekutuan atau tidak. Sekira kena dengan caranya, perlembagaan boleh dipinda demi kepentingan negara dan rakyatnya. Sebenarnya, hanya Karpal dan DAP saja yang membataskan negara sekular tidak boleh menggunakan undang-undang lain selain undang-undang sivil. Alasan itu sebenarnya hanyalah sekadar alasan dari mereka yang anti-Islam. Jika perlembagaan tidak boleh dipinda, mengapa pula pihak pembangkang suka-suka hati menjanjikan pindaan perlembagaan pada Perkara 153 yang menjaga kepentingan orang Melayu dan hak bumiputera di Sabah dan Sarawak? Mereka boleh cuba meminda perlembagaan, mengapa pula BN tidak boleh? Namun, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu haruslah demi kepentingan negara dan rakyatnya dan bukan berpaksikan kepentingan politik kepartian tertentu.

Sketsa drama Karpal Singh Vs. Nik Aziz ini sudah lama diketahui umum. Mereka “tidur sekatil, tapi mimpi lain-lain”. Mereka kononnya mempunyai dasar yang sama, sedangkan seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa PAS dan DAP jelas mempunyai dasar yang sangat bertentangan antara satu sama lain. Cuma mereka saja yang enggan mengaku dan terus membohongi rakyat demi memenuhi nafsu serakah mahu ke Putrajaya!

Sumber: MyKMU

Komen & Pendapat

Leave a Reply