Berita Hari Ini
Like

Orang Cina Juga Kena Adil

August 23, 2010
216 Views
0 Comments
2 minutes read
Orang Cina Juga Kena Adil

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya membuka sektor ekonomi yang dimonopoli oleh orang Cina kepada kaum lain jika benar Presiden MCA itu mahu memperjuangkan keadilan antara kaum.

Naib Presiden Perkasa, Dr. Zubir Harun berkata, ini kerana, semua sektor seperti industri makanan, pembuatan, pertanian dan perindustrian dikawal oleh orang Cina sehingga menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum berlaku di negara ini.

Selain itu, beliau juga menggesa supaya Soi Lek memastikan sektor swasta yang dikuasai golongan Cina menghapuskan diskriminasi dari segi pengambilan, perjawatan, gaji dan kenaikan pangkat yang dilaksanakan terhadap orang Melayu dan India sejak sekian lama.

“Sebelum Soi Lek mempersoalkan ekuiti 30 peratus milik bumiputera, beliau perlu mewujudkan keseimbangan persekitaran ekonomi terlebih dahulu agar kaum lain juga mendapat hak yang sama rata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Soi Lek pada Kongres Ekonomi Cina yang lalu supaya kerajaan menghapuskan ekuiti bumiputera walaupun perkara itu dijamin oleh Perlembagaan, kononnya atas alasan keadilan.

Menurut Zubir, desakan MCA itu tidak perlu dilayan kerana masyarakat Cina sudah memiliki pelbagai kekayaan apabila menguasai ekonomi dengan pegangan korporat sebanyak 42.8 peratus, hak milik premis (76.8 peratus) dan pendapatan purata berjumlah RM4,853.

Tegasnya, di sebalik dakwaan Soi Lek kononnya pemilikan ekuiti 30 peratus memberi kelebihan kepada orang Melayu, penguasaan ekonomi bumiputera dalam sektor korporat hanyalah sekitar 19.8 peratus, hak milik premis cuma 15 peratus dan pendapatan purata jauh lebih rendah iaitu RM3,156.

“Bagi golongan bumiputera di Sabah dan Sarawak, nasib mereka lebih buruk apabila tiada langsung pegangan dalam hak milik premis manakala ekuiti dalam sektor korporat pula setakat tiga peratus serta purata pendapatan antara RM2,063 hingga RM2,858,” katanya.

Tambah Zubir, bagi masyarakat India, walaupun mempunyai hak milik sektor korporat serta premis yang rendah iaitu hanya 1.1 peratus dan 3.8 peratus tetapi mereka menikmati purata pendapatan yang lebih tinggi daripada orang Melayu iaitu sebanyak RM3,799.

Justeru, tegas beliau, jika benar Soi Lek dan MCA mahu memperjuangkan keadilan penguasaan ekonomi antara kaum, parti itu perlu terlebih dahulu menyediakan ‘padang ekonomi’ yang sama rata kepada kaum Melayu dan India. Malaysia Instinct

Leave a Reply