Berita Hari Ini
Like

Sikap berdiam diri Tsu Koon ditegur

August 23, 2010
189 Views
0 Comments
2 minutes read
Sikap berdiam diri Tsu Koon ditegur

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon digesa supaya tidak berdiam diri berhubung tindakan pemimpin Cina yang mempersoalkan hak keistimewaan kaum Melayu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap sedemikian adalah tidak wajar kerana Presiden Gerakan itu merupakan menteri yang memegang portfolio berkaitan dengan perpaduan di negara ini.

”Kenapa dia tidak tegur Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang buat cadangan supaya dikurangkan ekuiti bumiputera 30 peratus dalam semua sektor ekonomi secara berperingkat?

”Tsu Koon perlu nyatakan pendirian supaya dia tidak dianggap ‘secara halus’ turut sama bersama-sama kumpulan yang anti-Melayu kerana beliau sebelum ini adalah orang yang bertanggungjawab membuatkan orang Melayu Pulau Pinang merempat, ketika menjadi ketua menteri di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ibrahim mengulas kenyataan Tsu Koon semalam yang menasihatinya supaya memberikan tumpuan bagi meningkatkan taraf bumiputera daripada mengatakan ini dan itu yang melukakan perasaan kaum lain di negara ini.

Tsu Koon berkata, Presiden Perkasa itu juga harus lebih memberikan perhatian untuk memperkasakan pengetahuan, kemahiran dan daya saing di kalangan bumiputera.

Pada Rabu lalu, Perkasa membuat laporan polis berhubung ucapan Soi Lek pada Kongres Ekonomi Cina di sini pada 14 Ogos lalu yang menggariskan sebanyak 12 resolusi bagi memantapkan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10.

Antara cadangan Soi Lek adalah supaya kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.

Dalam pada itu, Ibrahim menegaskan, adalah tidak wajar Tsu Koon hanya menegur Perkasa yang dikatakan telah melukakan hati kaum lain sedangkan nasihat sama tidak diberikan kepada pemimpin kaum Cina dan India yang turut bertindak sedemikian.

”Tidak wajar cadangan untuk kurang hak ekuiti bumiputera 30 peratus, lagi pun jumlah ini adalah tidak adil kerana nisbah bumiputera di negara ini 67 peratus. Adakah cadangan ini tidak melukai hati kaum bumiputera?” katanya.

Leave a Reply