Categories: Berita Hari Ini

Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Agrofest Perak 2010

TAN Sri Muhyiddin Yassin melihat bunga orkid yang dinamakan Muhyiddin Yassin yang disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Orkid Malaysia, Robert Ang, (kanan) sambil diperhatikan Datuk Dr Zambry Abd Kadir (kiri) dan Datuk Seri Noh Omar (kanan) di majlis perasmian Agrofest Perak 2010 Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Perak 2010 di Ladang Infoternak dekat Sungai Siput, hari ini. – Foto Ikhwan Munir

SUNGAI SIPUT, 5 Ogos (Bernama) — Model Ekonomi Luar Bandar yang dibentuk bagi memperkasa semua sub-sektor penting dalam bidang pertanian, akan menjadi komponen penting bagi penghasilan model baru ekonomi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata usaha menghasilkan model ekonomi luar bandar itu kini di peringkat pengumpulan maklumat daripada mereka yang terlibat dengan sub-sektor bidang pertanian seperti pekebun kecil, peladangan, penternakan dan perikanan.

“Model itu akan menjadikan kawasan luar bandar dapat berdiri sendiri sebagai komponen penting dalam sektor ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agrofest Perak 2010 di Ladang Infoternak di sini pada Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Muhyiddin berkata pemimpin masyarakat luar bandar, badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan sektor luar bandar, golongan yang terlibat dalam sub-sektor pertanian seperti nelayan, peladang, pekebun kecil, petani dan penternak boleh mengemukakan pandangan serta cadangan kepada kerajaan mengenai sumbangan yang boleh diberikan bagi pembentukan Model Ekonomi Luar Bandar itu.

Beliau berkata apabila kawasan luar bandar dapat berdiri sendiri sebagai komponen ekonomi, sebahagian besar masyarakat akan terus dapat bergantung hidup kepada bidang pertanian yang semakin lama dilihat semakin penting.

“Jadi usaha yang dilakukan ini akan dilihat (hasilnya) dalam 10 tahun ini di mana negara berhasrat mencapai negara maju tanpa meninggalkan sektor ekonomi luar bandar supaya antara lain kawasan itu menjadi komponen ekonomi yang boleh berdikari tanpa ada penghijrahan besar-besaran ke bandar yang akan mencetuskan masalah lain seperti kesesakan, pendapatan, pekerjaan dan tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata pembangunan sektor pertanian ke arah permodenan bukan satu perkara baru yang dilakukan oleh kerajaan namun kini yang lebih penting adalah usaha permodenan itu dapat meningkatkan pendapatan golongan tersebut serta menambah nilai bidang berkenaan.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini dalam proses untuk menggubal Dasar Pertanian Negara yang keempat atau dikenali sebagai Dasar Agro Makanan yang akan meningkatkan sumbangan sektor pertanian.

“Melalui penggubalan dasar itu, kita akan melihat bagaimana strategi untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian; terutama bagi aspek inovasi, permodenan sektor pertanian dan latihan menjadi petani moden,” katanya.

Beliau berkata Model Ekonomi Luar Bandar dan Dasar Pertanian Negara akan bergerak seiring bagi mencapai sasarannya.

Terdahulu pada majlis perasmian Agrofest Perak, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada 16 penerima; antaranya Peladang Jaya Lelaki kepada Yosni Yahya dari Lenggong, Peladang Jaya Wanita kepada Jamaliah Muhammad dari Tanjung Piandang, Peladang Muda Jaya kepada Shaharil Shafie dari Parit Buntar, serta Anugerah Pasar Tani Jaya kepada Pasar Tani Kuala Kangsar.

Pada majlis itu beliau turut menerima pokok orkid kacukan baru “Dendrobium Muhyiddin Yassin” yang mengambil sempena namanya daripada Naib Presiden Persatuan Orkid Perak Robert Ang.

“Dendrobium Muhyidddin Yassin” merupakan kacukan orkid spesis “Dendrobium Black Spider” dan “Dendrobium Ong Ang Ai Boon” yang dikacuk pada 12 Disember 2005 dan mula berbunga pada 7 Jun 2008.

Orkid itu akan didaftarkan di pendaftar orkid sedunia, Royal Horticulture Society di London. BERNAMA

Komen & Pendapat
Leave a Comment
Share

Recent Posts

Bumbung bangunan sekolah berusia 71 tahun di Perlis runtuh

Sebahagian bumbung blok C Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma dekat Kangar, yang berusia 71 tahun,…

23 mins ago

“Kalau Dah Okay, Dah Kuat, Baru Kak Lina Akan Kongsi”

Sebelum ini sering memuat naik foto Outfit of the Day (OOTD) di Instagram, namun sejak…

48 mins ago

Drop Shot: Sukar Cari Pengganti Lin Dan

Akhirnya jaguh China atau dilabel pemain terbaik sepanjang zaman, Lin Dan mengumumkan persaraan selepas 20…

2 hours ago

Khalid Jamlus Jual Kasut Emas

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menjual kasut emas yang dimenanginya 18 tahun lalu…

3 hours ago

Isu Pemandu Mabuk: Jabatan Peguam Negara Sudah Muktamadkan Beberapa Perkara

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara sudah memuktamadkan beberapa perkara mengenai keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan…

4 hours ago

Umno mesti sedia calonkan PM, meski Muhyiddin dipilih, kata naib presiden

UMNO mesti menyediakan calon perdana menteri daripada barisannya walaupun Muhyiddin Yassin dipilih untuk jawatan tersebut…

4 hours ago