Berita Hari Ini
Like

Usia persaraan tenaga akademik perlu berbeza – Sultan Perak

August 2, 2010
472 Views
0 Comments
2 minutes read
Usia persaraan tenaga akademik perlu berbeza – Sultan Perak

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Usia persaraan tenaga akademik tidak harus disamakan dengan anggota pentadbiran awam yang lain kerana dalam dunia akademik, semakin lanjut usia para sarjana, semakin matang dan mendalam pengetahuan mereka, demikian menurut Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Baginda, yang juga Canselor Universiti Malaya, menyifatkan sebagai satu kerugian besar kepada institusi dan negara apabila seseorang sarjana yang telah mencapai status kematangan terpaksa meninggalkan tugas di universiti kerana turut terikat dengan skim perkhidmatan yang mewajibkan mereka dibersarakan.

“Melahirkan seorang sarjana yang hebat memerlukan masa yang lama dan untuk itu, sarjana yang hebat itu perlulah dimanfaatkan oleh institusi untuk tempoh yang optimum,” titah baginda pada istiadat konvokesyen UM ke-40 di sini hari ini.

Turut hadir Pro Canselor UM iaitu Raja Dr Nazrin Shah yang juga Raja Muda Perak dan Tan Sri Siti Norma Yaakob serta Naib Canselor UM Datuk Dr Ghauth Jasmon.

Baginda bertitah skim perkhidmatan tenaga akademik dan peruntukan universiti perlu dirangka selaras dengan pengharapan yang diletakkan kepada mereka untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan, berperanan sebagai duta ilmu di peringkat antarabangsa, di samping tugas mengajar, membimbing dan mengawas pelajar.

Baginda bertitah universiti yang dibiayai dengan sumber kewangan negara sewajarnya perlu memenuhi wawasan dan agenda pembangunan negara.

“Namun, perlu ada pendekatan bijak untuk dapat mengimbangkan antara keperluan memenuhi agenda nasional negara dengan keperluan menjamin tidak tercicir perkembangan alam keilmuan dan budaya kesarjanaan,” titahnya.

Sultan Azlan Shah bertitah oleh itu, pentadbiran universiti perlu dilihat dari perspektif yang berbeza dan sama sekali tidak harus disamakan dengan amalan birokrasi pentadbiran awam yang lain.

“Alam keilmuan dan budaya kesarjanaan universiti perlu dicerminkan dari pelbagai aspek, merangkumi seni bina bangunan, landskap, tenaga akademik, tata cara pengurusan serta tata cara hubungan kerja.

“Inovasi dan kreativiti lebih dapat ditingkatkan sekiranya pentadbiran universiti diberikan lebih banyak kepercayaan, perwakilan kuasa, fleksibiliti dan autonomi mengurus tadbir urusan harian,” titah baginda.

Baginda bertitah setiap universiti perlu diberi ruang luas untuk mengenal pasti identiti dan keunggulan masing-masing serta bidang yang mahu diberikan fokus. – Bernama

Komen & Pendapat

Leave a Reply