Berita Hari Ini
Like

Sambutan Hari Kemerdekaan Meriah

September 2, 2010
237 Views
0 Comments
2 minutes read
no-cover

pix Mstar.com.my

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya ia diadakan di ruang tertutup Stadium Putra di Bukit Jalil bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

Meskipun tanpa perarakan, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini tetap menampilkan satu persembahan yang begitu unik dan kreatif dalam menyampaikan mesej 1Malaysia sebagai penjana transformasi negara.

Tampil dengan kepelbagaian persembahan yang menakjubkan sesuai dengan tema Hari Kemerdekaan kali ini, 1Malaysia Menjana Transformasi, kehadiran kira-kira 15,000 orang bersama Jalur Gemilang dikibarkan pada acara kemuncak sambutan turut memeriahkan lagi acara sambutan.

Acara bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke stadium tersebut.

Mengiring keberangkatan baginda berdua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta isteri masing-masing.

Menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta duta-duta asing adalah antara kenamaan lain yang turut hadir.

Dalam pada itu, semangat patriotik mula bergema ke seluruh stadium apabila kata keramat Merdeka dilaungkan tujuh kali dan diikuti dengan laungan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Keunikan amat terserlah dengan penggunaan imej, kad serta penataan cahaya yang boleh disifatkan sebagai amat mengagumkan terutama ketika memberi mesej mengenai dasar-dasar terbaru kerajaan seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Pelan Transformasi Kerajaan.

Secara umumnya terdapat lapan segmen persembahan iaitu Gagasan 1Malaysia; Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10); NKRA; kreatif dan inovatif; Model Baru Ekonomi (MBE); kejayaan negara; kepantasan bertindak dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Pada setiap segmen ditonjolkan beberapa gerakan para peserta dengan digabungkan dengan koir, kumpulan bercerita berirama, imej, kad serta penataan cahaya.

Meskipun pada sambutan kali ini tidak ditonjolkan perarakan kelengkapan ketenteraan dan anggota keselamatan lain, persembahan oleh lebih 2,000 anggota tentera, polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tidak kurang hebatnya.

Ini termasuk tempur tanpa senjata (TTS), gerakan anti pengganas serta kawat senyap.

Paling mencuri tumpuan ialah drama aksi terjunan dari Unit Lawan Keganasan yang cuba menyelamatkan tebusan menerusi segmen Kepantasan Bertindak.

Rais ketika ditemui selepas sambutan itu berkata, pihak kementerian amat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh semua peserta dalam menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan kali ini. MI

Komen & Pendapat

Leave a Reply