Berita Hari Ini

20 MP PKR sokong Azmin Ali tanding jawatan timbalan presiden

Sebahagian daripada pemimpin yang menghadiri sidang media menyokong Azmin Ali bertanding kerusi timbalan presiden PKR (dari kiri) Zuraida Kamarudin, S. Manikavasagam, Kamarul Bahrin Abas, Johari Abdul dan Amran Ghani.

PETALING JAYA, 6 Sept — Seramai 20 ahli Parlimen PKR mengisytiharkan sokongan mereka terhadap Naib Presiden Azmin Ali untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu kali ini.

Kumpulan itu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abas melahirkan sokongan mereka berdasarkan pada kelayakan dan pengalaman Azmin.

“Berdasarkan itu (kelayakan dan pengalaman), kami ahli-ahli Parlimen dan Senator mengisytiharkan sokongan kami kepada Azmin Ali sebagai timbalan presiden dalam pemilihan parti,” kata Kamarul.

Kenyataan mereka menekankan bahawa pemilihan kali ini akan menjadi teras kepada gerakan membawa perubahan baru.

“Maka penting siapa pemandu atau pemimpin-pemimpinnya kerana kekuatan kesatuan dalam PKR dapat menghayati semangat dan roh perjuangan parti demi mencapai cita-cita dan hasrat rakyat.

“Kami yakin seluruh anggota parti akan menunjukkan kematangan dalam pemilihan 2010 dengan melalui proses demokrasi sebenar, sekali gus mempelopori budaya baru politik Negara,” kata beliau.

Jawatan itu akan turut ditandingi Datuk Zaid Ibrahim yang pagi tadi menulis dalam blognya bahawa beliau menerima serangan sejak mengumumkan pendirian mahu bertanding kali ini jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim enggan turun gelanggang.

Zaid mengumumkan perubahan pendiriannya untuk bertanding minggu lalu.

Selain Zaid dan Azmin, dua lagi pemimpin yang dijangka turun gelanggang ialah Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub dan pengerusi biro persefahaman agama PKR Dr Muhammad Nur Manuty.

Penyandang jawatan Senator Dr Syed Husin Ali dilihat akan mengosongkan kerusinya.

Meskipun 20 Ahli Parlimen dan Senator dikatakan menyokong Azmin ke jawatan nombor dua itu, hanya enam daripada mereka hadiri sidang media hari ini iaitu Kamarul, Zuraida Kamaruddin (Ampang), S. Manickavasagam (Kapar), Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff (anggota Senat dari Pulau Pinang).

Kenyataan yang dikeluarkan pada sidang media menyenaraikan nama Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani, Fuziah Salleh (Kuantan), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Utara), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Aziz A Kadir (Ketereh), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), Amran Ghani (Tanah Merah), Gwo Burne Low (Kelana Jaya), Rashid Din (Merbok), Tian Chua (Batu), William Leong (Selayang), Sivarasa Rasiah (Subang), Ahmad Kasim (Kuala Kedah) dan Senator Zamri Yusof.

Tidak kelihatan pada pengumuman yang dibuat di ibu pejabat PKR di sini pagi ini ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Penasihat PKR dan Ahli Permatang Pauh.

Ahli Parlimen PKR lain ialah Khalid (Bandar Tun Razak), N. Gobalakrishnan (Padang Serai), Azmin (Gombak) dan Saifuddin Nasution Ismail (Machang).

Saifuddin juga merupakan Setiausaha Agung PKR.

“YB Azmin Ali merupakan tokoh kanan yang telah melalui pelbagai cabaran getir termasuk diaibkan ahli keluarganya, dalam mengharungi gerakan massa reformasi rakyat.

“Dalam keghairahan pimpinan seangkatan meninggalkan perjuangan mengejar kebendaan dan jawatan, beliau tetap istiqamah, tabah dan pasrah meneruskan agenda membela rakyat.

“Ketokohan, kepimpinan dan ketahanan diri beliau telah teruji dan sebagai pelopor yang kanan, bersama dengan Presiden Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berjaya memperkemas dan memperteguhkan parti menuju ke mercu yang lebih tinggi dan kuat,” kata beliau.

Kamarul juga memberitahu, pihaknya akan menyokong ahli-ahli Parlimen lain yang bertanding pada pemilihan kali ini.

“Kami menyokong penyandang jawatan Naib Presiden di kalangan ahli Parlimen yang berhasrat untuk mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti 2010 ini.

“Kami juga ingin memberi sokongan kepada tokoh-tokoh lain yang telah membuktikan komitmen dan kemampuan mereka memikul tanggungjawab yang juga telah meluahkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden,” katanya.

Kira-kira 400,000 ahli akan mengundi di bawah sistem secara langsung antara 29 Oktober dan 21 November ini.

PKR mempunyai 218 cabang (bahagian) di seluruh negara.

Kenyataan media yang dikeluarkan juga berkata, sebagai wadah politik masa depan PKR akan menyuburkan amalan demokrasi dan komited mengembangkan budaya kepelbagaian etnik dan budaya.

“Tugas membentuk budaya dan politik baru di negara ini harus diterjemahkan oleh pimpinan Keadilan yang menghayati arah tuju dan perjuangan parti sekarang dan masa depan,” kata kenyataan itu.

Justeru, kata kenyataan media itu, proses pemilihan di peringkat pusat PKR kali ini mempunyai lebih makna kerana pemimpin tertinggi mempunyai tanggungjawab yang akan diamanahkan oleh keseluruhan anggota parti, yang sangat menginginkan perubahan.

“Kepimpinan tertinggi Keadilan mesti dianggotai oleh pemimpin-pemimpin yang berkelayakan dan berkeyakinan dari khalayak yang akan mengutamakan agenda parti dan sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk maju sebagai satu pasukan yang mantap dan kuat, dan akan bersaing dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mencapai matlamat dan cita-cita rakyat yang dahagakan perubahan,” katanya. MI

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");