Berita Hari Ini
Like

Ahmadinejad cetus kontroversi baru

September 25, 2010
230 Views
0 Comments
3 minutes read
Ahmadinejad cetus kontroversi baru

NEW YORK 24 Sept. – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mencetuskan kontroversi baru, semalam apabila beliau mendakwa majoriti penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan serata dunia percaya kerajaan AS mendalangi serangan 11 September, 2001 dalam usaha untuk memastikan Israel terus wujud.

Kenyataan provokasi Ahmadinejad semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di sini semalam mendorong delegasi AS bertindak meninggalkan dewan.

Ahmadinejad turut menyalahkan Washington sebagai kuasa besar yang mendalangi sekatan Majlis Keselamatan PBB ke atas Iran kerana keengganannya menghentikan kegiatan pengayaan uranium yang didakwa boleh digunakan untuk membina senjata nuklear.

Delegasi daripada semua 27 negara Kesatuan Eropah (EU) menyusuli langkah perwakilan AS itu meninggalkan dewan diikuti delegasi dari Australia, New Zealand, Kanada dan Costa Rica, kata seorang diplomat EU.

Presiden Iran itu berkata, Washington yang telah memperuntukkan sebanyak AS$80 bilion (RM256 bilion) untuk menaikkan taraf senjata nuklear AS bukanlah hakim yang adil untuk menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan bagi menghukum Iran berhubung aktiviti nuklearnya.

Ahmadinejad yang pernah melahirkan keraguan mengenai dakwaan AS berhubung serangan pada 11 September turut menggesa ditubuhkan sebuah badan siasatan bebas PBB bagi menyiasat serangan itu.

Siasatan sedemikian akan memastikan serangan pengganas tersebut tidak bertukar menjadi satu isu yang tidak boleh disentuh langsung seperti Holocaust dan ‘menyuarakan pandangan mengenainya tidak akan diharamkan’.

Ahmadinejad tidak menjelaskan lojik di sebalik tuduhan beliau bahawa AS mendalangi serangan 11 September tetapi berkata, terdapat tiga teori:

* Bahawa ‘sekumpulan pengganas yang canggih dan sangat kuat’ menembusi sistem perisikan dan pertahanan AS, dengan sokongan ‘negarawan Amerika’.

* ‘Bahawa beberapa kelompok dalam kerajaan AS mendalangi serangan itu untuk menyekat kemerosotan ekonomi Amerika dan menguatkan kembali cengkaman AS ke atas Asia Barat dengan tujuan untuk menyelamatkan rejim Zionis. Majoriti rakyat Amerika serta negara dan ahli politik lain bersetuju dengan pandangan ini’.

Selepas Ahmadinejad menyuarakan dakwaan-dakwaan itu, dua diplomat AS bangun dan berjalan keluar meninggal dewan tanpa mendengar teori ketiga:

* Bahawa serangan 11 September adalah angkara ‘sekumpulan pengganas tetapi kerajaan Amerika menyokong perbuatan mereka dan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku’.

Sebelum itu, Presiden AS, Barack Obama dalam ucapannya pada UNGA mencabar dunia yang pesimis supaya membantu Israel dan Palestin memeteraikan perjanjian damai bersejarah dalam tempoh setahun, setelah usaha sejak berpuluh-puluh tahun lalu untuk mencapai perdamaian menemui kegagalan.

“Kali ini usaha damai akan membawa kesudahan yang berbeza,” kata Obama yang memberi pilihan antara kestabilan di Asia Barat dengan pertumpahan darah berterusan.

Obama menjadikan perdamaian di Asia Barat sebagai tema utama ucapan tahunan beliau pada UNGA, menandakan beliau amat mengharapkan kejayaan daripada rundingan damai terbaru yang kini berada dalam keadaan goyah.

Hampir setiap topik lain dalam agenda antarabangsa beliau diketepikan dalam ucapannya itu. – AP

Komen & Pendapat

Leave a Reply