Berita Hari Ini

Budaya balik kampung eratkan hubungan – PM

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Budaya balik kampung adalah penting bagi memelihara hubungan antara mereka yang menetap di bandar dan kawasan maju dan mereka yang mengekalkan tradisi, budaya dan cara hidup di luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha meneruskan tradisi dan hubungan itu adalah penting bagi orang ramai untuk mempertahankan budaya dan identiti sebagai rakyat Malaysia.

“Saya perhatikan bahawa cuti hujung minggu yang panjang baru-baru ini merupakan satu lagi contoh bagi begitu banyak kekayaan budaya rakyat Malaysia di mana kebanyakan daripada kita pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menjalin semula hubungan dengan kaum keluarga dan rakan-rakan,” katanya dalam entri terbarunya dalam www.1malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata, semangat kejiranan di Malaysia juga sentiasa merupakan sebahagian dari budaya nasional tanpa mengira sama ada ia semasa Ramadan atau majlis perayaan yang lain.

“Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, kenduri (atau rumah terbuka) dan balik kampung merupakan peringatan kepada hubungan ini,” katanya.

Najib berkata, semasa pulang ke kampung halamannya dan kawasan Parlimen Pekan sentiasa membangkitkan satu perasaan nostalgia dan beliau gembira dapat melawat Pekan beberapa kali bulan ini, apabila memikirkan bebanan tugasnya di Putrajaya.

“Sejak lawatan ini menjadi lebih kerap setiap Ramadan, begitu juga dengan kenangan,” katanya mengimbau semula kenangan semasa kecil semasa musim buah-buahan di kampung halamannya.

Beliau berkata, semasa itu mereka akan menerima pelawat dari seluruh kawasan Pekan yang membawa bersama mereka sesetengah hasil daripada dusun mereka sendiri sebagai hadiah dan rumah keluarga mereka sentiasa penuh dengan pelbagai jenis buah-buahan tempatan.

“Sebagai penghargaan atas ingatan ikhlas ini, Almarhum bapa saya akan mengambil usaha untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada penduduk kampung yang berkunjung. Beliau secara peribadi akan berkunjung ke rumah-rumah mereka dan berterima kasih atas hadiah mereka.

“Saya pasti ramai orang di Pekan masih ingat akan lawatan beliau. Sementara kenangan ini adalah begitu istimewa dan unik kepada keluarga saya dan penduduk kampung halaman saya, sikap dan niat di sebaliknya adalah biasa kepada kita semua.

“Ia adalah mudah, namun ia merupakan hubungan yang bermakna yang memupuk sikap hormat di kalangan individu,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");