Berita Hari Ini

DAP Dah Tolak Hudud… PAS Tak Sedar-Sedar Lagi Ke

Ramadan adalah bulan di mana syaitan dirantai dan pintu neraka ditutup. Bulan ini membawa keberkatan buat umat Islam yang mana pintu keampunan dibuka oleh Allah seluas-luasnya untuk bertaubat.

Ramadan juga adalah masa terbaik untuk bermuhasabah. Barangkali, Ramadan kali ini juga adalah kesempatan terbaik untuk pemimpin PAS mengkaji dan menilai kembali kerjasama yang dijalin mereka dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Ini kerana, dalam bulan mulia ini juga ketika umat Islam menjalani ibadat puasa, DAP sekali lagi mengulangi pendirian menolak pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam PAS.

Kali ini, penolakan terhadap pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan disuarakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Ini bermakna Pengerusi DAP, Karpal Singh, tidak berseorangan dalam isu berkenaan.

Ini juga bermakna, Karpal mendapat sokongan Kit Siang dan DAP keseluruhan. Apa pendirian PAS dalam isu ini. Apakah mereka yakin mampu untuk ‘mengIslamkan’ dua pemimpin DAP yang secara terbuka menolak hasrat PAS untuk membentuk kerajaan Islam serta melaksanakan hukum hudud.

Sebenarnya, bukan kali ini PAS dimalukan oleh rakan sekutunya dalam isu sebegitu. Sebelum ini, pada konvensyen pertama pakatan pembangkang di Shah Alam, Karpal secara terbuka menolak kepemimpinan PAS dan mengiktiraf kepemimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di hadapan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di mana maruah dan suara pemimpin PAS yang selama ini melaungkan kepemimpinan ulama dan berpaksikan agama Islam. Apakah PAS boleh menerima rakan pakatannya menolak hukuman Islam dan juga negara Islam diperjuangkan parti itu selama ini.

Mungkin ada betulnya juga kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), bahawa usaha untuk membolehkan pemimpin DAP itu mengenali Islam dengan lebih mendalam, tidak akan berjaya.

“Hari ini kita jual diri kita kepada sesiapa saja demi kepentingan tertentu. Ada pemimpin Islam sanggup mengadakan perbincangan dan bekerjasama dengan bukan Islam ataupun pihak yang menolak Islam, tetapi tidak pula mahu mengadakan sebarang perbincangan dengan orang Islam.

“Mereka sanggup berbincang dengan orang yang menolak Islam kononnya untuk mendekatkan (pemimpin bukan Islam) dengan Islam, supaya mereka memahaminya. Usahlah khayal untuk mengubah mereka supaya percaya kepada Islam, jika sebelum ini ada di kalangan mereka berkata langkah mayat aku dulu jika mahu menubuhkan negara Islam,” katanya.

Malah bagi Dr Mahathir, pemimpin yang mendakwa mereka mendokong perjuangan Islam sebenarnya sebelum ini pernah menyatakan adalah haram jika orang Islam bekerjasama ataupun berkawan dengan bukan Islam.

Tetapi kini ia ibarat meludah ke langit, akhirnya air liur itu jatuh ke muka sendiri, apabila pemimpin Islam itu sedia bekerjasama dengan bukan Islam demi kepentingan politik dan sanggup memusuhi sesama Islam.

Jika sebelum ini, apabila Karpal menyuarakan tentangan terhadap penubuhan negara Islam, pemimpin PAS berkata itu adalah pandangan peribadi pemimpin DAP itu dan bukan suara daripada parti. Tetapi kini, Kit Siang juga menyuarakan perkara sama. Justeru, apa pendirian pemimpin PAS. Apakah mereka masih mahu mempertahankan pemimpin DAP?

Disebabkan suara Kit Siang menyokong Karpal, maka hari ini kedengaran pula suara segelintir pemimpin PAS mahu isu itu tidak lagi diperdebatkan. Ada yang meminta pucuk pimpinan PAS supaya memahami bahawa hukum hudud hanya boleh dilaksanakan jika mendapat mandat orang ramai.

Ini bermakna, sekiranya pakatan pembangkang berjaya merampas Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13, hukum hudud diperjuangkan PAS sebelum ini belum tentu dapat dilaksanakan dan negara Islam dicanang PAS sebelum ini juga mungkin hanya tinggal angan-angan.

Oleh itu inilah masa yang terbaik untuk PAS menilai kembali perjuangannya dalam pakatan pembangkang, adakah ia mampu merealisasikan apa diimpikan sebelum ini ataupun dasar perjuangan sebelum ini perlu dikorban. Apakah perjuangan Islam yang dibawa parti itu akan terkubur.

Hari ini Islam masih berkuasa di negara ini, namun, cadangan untuk melaksanakan hukum hudud sudah ditolak DAP dan negara Islam ditentang. Bagaimana agaknya jika Islam tidak lagi berkuasa di Malaysia, apakah suara umat Islam akan didengari dan perjuangan PAS akan diterima.

Sudah tiba masanya juga untuk PAS memikirkan semula sedalam-dalamnya cadangan untuk melihat parti itu dan UMNO duduk semeja bagi membincangkan kepentingan tertentu yang semestinya membawa keuntungan kepada umat Islam dan orang Melayu di negara ini daripada memikirkan kerjasama dengan DAP dalam pakatan pembangkang yang sememangnya tidak memberi keuntungan kepada PAS.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");