Berita Hari Ini

Hindraf patut selesaikan keganasan gangster India dari menyalahkan Melayu

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaman Khan (gambar) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera bagi mengekang gejala gengsterisme melibatkan kaum India.

Menurut beliau, ini kerana kumpulan gengster itu mampu bertindak ganas dan kejam berdasarkan beberapa kes yang berlaku sekitar 1980-an.

Jelasnya, berbanding gengster kaum lain, kumpulan samseng daripada kaum India sering bertindak kejam terhadap mangsa mereka.

“Sekitar 1990-an terdapat gengster India seperti Bentong Kali yang melakukan rompakan serta membunuh mangsa kononnya untuk membantu golongan miskin.

“Selain itu, terdapat juga satu lagi kumpulan remaja kaum India yang menggelarkan diri mereka Geng Satu Hati.

“Walaupun hanya kumpulan kecil yang terdiri daripada anak kakitangan Hospital Kuala Lumpur namun mereka mampu bertindak ganas ketika melakukan jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas permintaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah di dalam Mingguan Malaysia hari ini supaya polis memberi perhatian terhadap gejala gengsterisme di kalangan kaum India yang semakin memuncak.

Kenyataan beliau dikeluarkan berasaskan laporan Ketua Pemuda MIC Selangor, M. Shaker Raj Ayenger yang mendakwa 300 belia India di Selangor ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dalam tempoh empat bulan tahun ini.

Mohd. Zaman memberitahu, selain kedua-dua kumpulan terbabit terdapat juga pembunuhan kejam lain yang dilakukan gengster India ketika itu.

Antaranya, jelas beliau, satu kes pembunuhan kejam yang berlaku ladang kelapa sawit di Gopeng, Perak.

Katanya, kejadian itu berpunca apabila pemilik ladang kelapa sawit berkenaan mencederakan sekumpulan lembu milik gengster berkenaan.

“Bagi membalas dendam, kumpulan samseng itu menetak pemilik ladang itu dengan kejam sehingga mati.

“Selain itu, di Kuala Kubu Bharu, gengster India di situ yang berang terhadap kesilapan dilakukan seorang lelaki di kuil mereka mencincang mangsa sehingga mayatnya tidak dapat dikenali,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan kejadian-kejadian itu termasuk insiden pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, polis kini perlu bertindak pantas menghapuskan kumpulan tersebut.

Menurutnya, jika dibiarkan, perkara itu dikhuatiri akan terus berlaku pada masa depan dengan kejadian lebih menyayat hati dan melibatkan lebih ramai mangsa.

Mohd. Zaman menambah, kumpulan samseng itu perlu dibendung pada peringkat awal termasuk usaha pihak berkuasa untuk melakukan sekatan terhadap aksi ganas dalam filem Tamil.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong turut meminta PDRM bertindak terhadap gengster India kerana beliau turut menerima aduan berhubung keganasan kumpulan samseng berkenaan.

Menurutnya, biro itu sentiasa menerima aduan mengenai tindakan samseng dari gengster India terutamanya melibatkan penarik kereta.

Beliau berkata, bagi bulan ini sahaja pihaknya telah menerima dua aduan berhubung masalah tersebut.

“Masalah itu tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana pihak kerana ia mampu menggugat keselamatan negara.

“Malah kita bimbang gejala gengsterisme itu akan menjadi lebih mudarat dan sukar dikawal selepas ini,” katanya.

Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");