Berita Hari Ini
Like

Jeffrey hilang kepercayaan terhadap Anwar

September 2, 2010
179 Views
0 Comments
2 minutes read
Jeffrey hilang kepercayaan terhadap Anwar

KOTA KINABALU: Naib Presiden PKR Jeffrey Kittingan kini dikatakan hilang harapan dan kepercayaan terhadap Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penggantungan 12 pemimpin PKR Sabah minggu lalu.

Melihat kepada sikap Anwar yang tiada jauh bezanya antara PKR dan Umno, masalah yang tidak berkesudahan membelenggu Sabah juga dilihat hampir mustahil untuk diselesaikannya.

Demikian menurut beberapa penyokong Jeffrey sejak isu penggantungan 12 ahli gara-gara berhasrat untuk menubuhkan Parti Cinta Sabah tahun lalu.

Mereka yang terlibat adalah Daniel John Jambun, Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Mozes Iking, Paul Kerangkas, Sylvester Balon, Innocent Makajil, Guandee Kohoi, Harry Manisit, Dr Nicholas Guntobon, Rubbin Guribah, Gonsubin Yosundang dan Nasir Samie.

Beberapa pemimpin dan ahli PKR terdekat Jeffrey ketika dihubungi FMT untuk mengulas mengenai isu ini bagaimanapun enggan mendedahkan identiti sebenar.

Mereka berkata Jeffrey yang baru pulang daripada Kuala Lumpur Isnin lalu kelihatan kecewa terhadap Anwar kerana melanggari perjanjian damai yang dimeterai pada Disember tahun lalu.

“Beliau sangat kecewa dengan Anwar…” kata pembantu Jeffrey.

“Kata-kata Jeffrey seperti ‘cukuplah dengan apa yang terjadi’…tapi beliau masih bersikap tenang. Beliau juga menyuruh kami agar bersikap tenang dan jangan mudah melatah…” kata seorang lagi pembantu Jeffrey melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).

Jeffrey ketika ditemui semasa tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada malam Isnin lalu, dan kemudian di Kelab Golf Tambunan di sini ada memberikan beberapa respon namun beliau melarang untuk disiarkan.

Beliau juga enggan mengulas mengenai perselisihannya dengan Anwar dan pemimpin tertinggi PKR yang lain semasa bermesyuarat Ahad lalu.

Mengulas mengenai penggantungan 12 pemimpin PKR Sabah, Jeffrey berkata beliau masih dan akan tetap menghormati perjanjian damai itu.

Beliau turut berkata dirinya dan ramai ahli PKR menyangka Anwar akan turut menghormati perjanjian terbabit, namun keputusannya terletak di tangan Anwar. FMT

Komen & Pendapat

Leave a Reply