Perak Hari Ini

JKR terima RM20j tinjau lokasi, ujian tanah Jalan Segari-Changkat Jering

IPOH: Kerajaan Persekutuan secara prinsip meluluskan permohonan kerajaan Perak untuk membina laluan baru Jalan Segari-Changkat Jering sejauh 65 kilometer yang dianggarkan bernilai RM700 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata laluan baru itu selari dengan wawasan kerajaan negeri mewujudkan kawasan pertumbuhan baru, selain mengurangkan kemalangan maut di jalan sedia ada. Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah pun menerima dana RM20 juta untuk tujuan tinjauan lokasi dan ujian tanah.

“JKR sudah selesai melakukan ujian tanah bagi jalan Batu 3, Segari dekat Pantai Remis ke Changkat Jering melalui Trong.

“Kerajaan negeri berharap projek ini akan dimulakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) kerana kemalangan maut di jalan sedia ada agak serius,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, kelmarin.

Zambry berkata, JKR Perak sebelum ini mencadangkan jalan sedia ada itu dinaiktaraf sebagai jalan dua lorong sehala dengan kos kira-kira RM150 juta.
Namun, katanya, Ibu Pejabat JKR ketika membentangkan perkara itu di Mesyuarat Exco kelmarin mencadangkan tiga pilihan iaitu sebahagian jalan sedia ada dilebarkan, manakala bahagian seterusnya adalah laluan baru.

Beliau berkata, pilihan kedua membina laluan baru sepenuhnya dan pilihan ketiga adalah melebarkan jalan sedia ada seperti cadangan JKR Perak.

“Kita belum menetapkan pilihan mana yang akan diambil, tetapi yang penting ialah laluan baru ini dapat mengurangkan kemalangan maut dan mewujudkan kawasan pertumbuhan ekonomi baru.

“Kerajaan negeri juga meminta JKR mengurangkan pengambilan tanah individu atau syarikat atau merobohkan rumah penduduk kampung atau bangunan milik syarikat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");