Perak Hari Ini

Kes Sivakumar cabar keputusan SPR didengari 23 November

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 23 November ini untuk mendengar permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dan enam lagi untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Aziah Ali.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Sivakumar dan enam yang lain dan Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa yang mewakili SPR dan tiga responden lain.

Pada 22 Oktober tahun lalu, tujuh pemohon diberi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Mereka adalah Sivakumar, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi iaitu Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang).

Tiga wakil rakyat lompat

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat; Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Mereka mahu mahkamah mengeluarkan surat perintah memaksa SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong berikutan berikutan perletakan jawatan wakil rakyat itu dan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Mereka juga turut memohon writ bersifat “quo warranto” dikeluarkan kepada ketiga-tiga ADUN itu dengan memerintahkan kesemua mereka memberikan tunjuk sebab bagaimana kesemua mereka masih ADUN kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi DUN atas tiket Parti Keadilan Rakyat manakala Hee atas tiket DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mereka kemudiannya meninggalkan parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional sehingga mendorong kejatuhan kerajaan negeri pakatan pembangkang PAS-PKR-DAP pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");