Berita Hari Ini

Ku Nan jawab Perkasa, Penawar: Kenapa saya mesti minta maaf

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan tidak timbul soal beliau perlu meminta maaf berhubung gesaan beberapa pihak berkaitan kenyataannya terhadap Perkasa sebelum ini termasuk bahawa Umno dan BN perlu menjauhkan diri.

“Kenapa saya mesti minta maaf (kepada Perkasa),” kata Setiausaha Agung Umno (gambar) ini hari ini.

“Bukan sahaja presiden penawar, tetapi juga setiausaha agung Perkasa minta saya meminta maaf, dan jika tidak mahu saya dipecat.

“Barangkali mereka keliru dengan apa yang saya sebutkan, terutama pertama, mereka kena ingat bahawa saya orang Melayu, beragama Islam, dan saya mempertahankan perjuangan saya untuk bangsa saya, dan Umno dari dulu, kini dan selamanya tetap akan mempertahankan hak orang Melayu.

“Tiada sebab agensi, institusi atau orang lain yang hendak mendabik dada kononnya nak memperjuangkan hak bangsa orang Melayu,” kata beliau lagi.

Kata Tengku Adnan, pendirian beliau adalah tetap di mana Umno dan BN tidak akan mendekati mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang walaupun telah diberikan penjelasan tetapi terus mengherdik parti itu.

“Jadi takkanlah kita nak bersama orang yang memusuhi kita,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung BN dalam temu bual dengan Umno Online.

Semalam, Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (Penawar) mendesak Umno agar bekerjasama dengan Perkasa dan badan-badan bukan kerajaan Melayu lain yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera.

Keputusan itu diambil oleh Dewan Tertinggi Penawar di sebalik pandangan bahawa Umno dan BN harus menjauhkan diri daripada Perkasa jika tidak mahu sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 terhakis.

Presiden Penawar Tan Sri Adam Kadir berkata, pihaknya juga duka cita dengan kenyataan Tengku Adnan berhubung isu Perkasa.

“Kami amat berdukacita dengan kenyataan dan sikap Datuk Seri Tengku Adnan selaku Setiausaha Agung Umno yang mengutuk Perkasa dan NGO Melayu sebagai rasis apabila mereka memperjuangkan dan mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera,” kata beliau.

Kata Adam, Dewan Tertingi Penawar juga menuntut beliau agar memohon maaf kepada Perkasa dan NGO-NGO Melayu.

“Sekiranya enggan berbuat demikian, kami menuntut supaya Umno memecat beliau sebagai Setiausaha Agung Umno,” kata Adam.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali juga menggesa Tengku Adnan dipecat.

Tengku Adnan juga berkata, Umno tidak pernah bergaduh dengan sesiapa, malah sentiasa mahu menjalin hubungan baik dengan NGO tidak kira sama ada yang membela orang Melayu, Cina atau pun India.

“Saya bersetuju dengan apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib sebut,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri menyatakan pendirian Umno mengelak daripada mewujudkan konflik dengan mana-mana NGO termasuk Perkasa.

“Kita tidak pernah lari malahan mendekati dan kalau boleh bukan sahaja NGO tetapi juga pihak pembangkang untuk memberi penerangan pada mereka.

“Saya sedia berdepan kerana mereka ini telah diasak bertubi-tubi oleh pemimpin mereka untuk membenci Umno dan kerajaan,” kata Tengku Adnan.

Dalam temu bual itu, Tengku Adnan mempersoalkan apakah NGO-NGO berkenaan tidak sedar bahawa sejak ditubuhkan pada 1946 tidak mereka sedar bahawa Umno telah memperjuangkan hak bangsa.

Kata beliau, barangkali mereka lupa bahawa Umno bukan hanya memperjuangkan hak bangsa Melayu, tetapi juga menjadi tulang belakang kerajaan BN.

“Selain hak bangsa Melayu, Umno turut bertanggungjawab terhadap bangsa lain kerana ia dilihat bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kepada seluruh rakyat sebagai tempat untuk bernaung,” tegas beliau.

Tengku Adnan juga berkata, sejak lima enam tahun lalu banyak pihak “menghina Umno, mengata, mengherdik” tetapi tiada siapa yang mempertahankan parti dominan BN itu kononnya ia “satu pertubuhan atau nama yang begitu jijik”.

“Sebenarnya Umno tidak jijik tapi Umno yang telah memberi segala keselesaan kepada penduduk dalam negara ini tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Iban atau Dayak.

“Ini yang telah dilakukan oleh datuk nenek kita dan pemimpin kita selama ini,” kata beliau.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menjelaskan, beliau akan mempertahankan Umno daripada mana-mana pihak sama ada parti-parti politik atau NGO yang hendak menonjolkan diri mencari populariti dengan membangkitkan isu-isu perkauman untuk mencetuskan keadaan tidak stabil dalam negara ini.

“Pada saya yang penting ialah kestabilan negara kerana kita adalah sebuah negara majmuk yang berbilang kaum dan berbilang bangsa.

“Kita berjaya seperti hari ini kerana bersatu dalam kepelbagaian dan inilah negara kita yang menjadi satu contoh mengekalkan kesejahteraan, aman dan makmur,” kata Tengku Adnan.

Justeru, beliau persoal mengapa sekarang ada orang-orang tertentu atau NGO yang hendak meracuni pemikiran untuk rakyat “membenci Umno, membenci kerajaan dan yang paling amat ketara hendak memecah-belahkan ikatan antara komponan BN sedangkan selama ini telah kita pelihara”.

Sambil terus mempertahankan kenyataannya sebelum ini, jelas Tengku Adnan, ada seorang anggota Dewan Tertinggi Penawar, yang dahulunya Paku, menelefon beliau berhubung keputusan NGO itu.

Kata Tengku Adnan, beliau tahu apa yang dimaksudkannya dan ia adalah untuk kebaikan agama, bangsa dan negara.

“Dia menelefon saya bahawa dia tidak bersetuju dengan apa yang dibangkitkan dalam mesyuarat (semalam).

“Dan, dia tahu apa yang saya cakap. Barangkali mereka sudah lupa setelah mendapat pendidikan yang tinggi, mendapat kesenangan, mereka dapat mencari nafkah dengan baik, mampu menghantar anak-anak melanjutkan pengajian ke luar negara, dan institusi pengajian tinggi tempatan atas jasa siapa?” soal Tengku Adnan dan menegaskan, “saya tidak akan mengkhianati bangsa saya”.

Tengku Adnan memberitahu setiausaha agung-setiausaha agung komponen BN dalam pertemuan awal bulan ini telah menyuarakan kebimbangan terhadap NGO-NGO tertentu.

“Saya juga telah membangkitkan berkaitan NGO bukan Melayu seperti Hindraf, NGO Cina, dan kita buat satu rumusan bahawa kita akan dekati dan selepas kita beri penerangan sekiranya mereka masih menentang kita, maka kita terpaksa menjauhkan diri kita daripada mereka,” kata beliau.

“Saya minta NGO ini berperanan untuk membantu kerajaan dan bukan sebaliknya membawa kepada perpecahan.

“Saya tidak mahu perpecahan dalam negara kerana kita ini masyarakat majmuk,” kata Tengku Adnan. MI

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");