Berita Hari Ini

Najib hurai perkara penting di PBB

NEW YORK 26 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ucapan sulung beliau selaku Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-65 malam esok (waktu Malaysia) akan mengutarakan beberapa perkara utama antarabangsa.

Tanpa menyatakan secara khusus perkara-perkara tersebut, Perdana Menteri memberitahu beliau akan cuba menghuraikan sebaik mungkin kesemuanya kerana ia mustahak kepada pertubuhan terbesar dunia tersebut.

”Ini ucapan kali pertama saya di PBB (atas kapasiti Perdana Menteri). Saya akan cuba menghuraikan beberapa perkara yang dianggap penting untuk diketengahkan kepada PBB,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri di sini hari ini, bagi meraikan para pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syarikat.

Beliau dijadualkan berucap pada hari keempat berlangsungnya perbahasan umum UNGA di Ibu Pejabat PBB di sini yang telah pun bermula 23 September lepas dan akan berakhir Rabu ini.

Tema sesi tahun ini ialah Memperkukuhkan Peranan Utama PBB Dalam Tadbir Urus Global.

Sejurus selepas menyampaikan ucapan beliau, Najib dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.

Pada UNGA tahun lepas, Najib diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

UNGA yang merupakan satu daripada enam organ utama PBB, merupakan satu-satunya forum negara-negara anggota badan dunia tersebut yang mempunyai perwakilan yang saksama.

Pada kebiasaannya, Malaysia akan mengetengah pendirian negara terhadap isu-isu utama yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat dan keamanan dunia pada setiap platform di peringkat antarabangsa yang disertainya.

Ini termasuklah isu-isu berkaitan keamanan dunia seperti di Asia Barat, perlucutan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran, jaminan bekalan bahan makanan serta berkongsi pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif. – Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");