Berita Hari Ini
Like

Namewee temui polis di KL, nafi dia rasis

September 1, 2010
243 Views
2 Comments
2 minutes read
Namewee temui polis di KL, nafi dia rasis

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Penulis lagu kontroversi Wee Meng Chee hadir sendiri di balai polis di sini malam ini berhubung beberapa laporan yang dibuat terhadapnya ekoran klip video didakwa berbaur rasis tetapi menegaskan, dia menyokong 1 Malaysia dan bukannya rasis.

Wee yang turut dikenali sebagai Namewee tiba di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail di sini dengan menaiki kereta BMW miliknya dan ditemani peguam kira-kira 9.20 malam.

Wee yang berbaju warna hijau memberitahu, dia “bukan rasis” dan terus melawan tindakan-tindakan berbaur perkauman.

“Tidak bermakna jika saya melihat sesuatu yang tidak kena, saya akan diam diri sebab saya seorang rakyat Malaysia. Saya antiperkauman dan menyokong 1 Malaysia,” kata Wee di tempat letak kereta balai polis.

Tengah malam tadi Wee memuatkan mesej di laman Facebook mendakwa tiga kereta peronda polis hadir di pekarangan rumahnya di Muar untuk menahannya.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi tadi, Ketua Jabatan Jenayah Polis Johor Datuk Amer Awal menafikan pihaknya bercadang untuk menahan Wee.

Wee berkata, dia percaya mempunyai sokongan rakyat walaupn ada pihak yang mempertikaikan tindakannya mengeluarkan video baru tiga minit.

“Sebab itu saya bersedia untuk bekerjasama dengan polis. Saya percaya polis akan menyokong saya dalam tindakan saya menentang perkauman dan saya percaya negara juga akan menyokong saya,” katanya.

“Saya sihat secara mental. Saya tidak ada sebarang kecederaan dan saya tidak akan bunuh diri,” katanya lagi.

Hari ini, Permuafakan NGO Melayu Pahang Bersatu membuat laporan polis terhadap Wee ekoran perbuatannya menghasilkan klip video itu.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong yang mewakili 15 NGO terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula berkata, Wee perlu diheret ke mahkamah secepat mungkin kerana tindakannya menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Ini kali kedua, Wee, 27, mencetuskan kontroversi.

Kali pertama pada 2007 apabila dia menyiarkan klip video bertajuk Negarakuku melalui YouTube yang menghina lagu kebangsaan negara ketika menuntut di sebuah universiti di Taiwan.

Terdahulu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata Wee perlu menghadapi tindakan sewajarnya.

“Kebebasan meluahkan perasaan seharusnya datang bersama tanggungjawab dalam menjaga sensitif kaum dan agama lain,” Dr Chua kepada pemberita di sini. MI

Komen & Pendapat

2 Comments

Leave a Reply