Berita Hari Ini

PAS ambil tindakan undang-undang terhadap Zam

KUALA LUMPUR, 6 Sept – PAS memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin ekoran keengganan beliau memohon maaf, sebaliknya semalam mempertahankan kenyataan bahawa parti Islam itu pernah meminta kepimpinan negara merampas harta orang Cina.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang, kami sudah mengarahkan peguam kami mengambil tindakan sewajarnya… meneliti perkara-perkara yang perlu,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad ketika dihubungi hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Zainuddin yang turut dikenali sebagai “Zam” menegaskan, kenyataan beliau bahawa pemimpin PAS telah meminta Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merampas harta orang-orang Cina selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, bukan sesuatu yang baru.

“Ini bukanlah suatu kenyataan baru tetapi telah diberitahu oleh Tunku dalam pertemuan eksklusif saya dan Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi, dengannya lebih 40 tahun dahulu,” katanya ketika mengulas laporan polis terhadap beliau berhubung kenyataannya itu.

Zainuddin turut menunjukkan gambar temu bual beliau dengan Tunku kepada pemberita di kediamannya di sini.

Ketika itu, Zainuddin merupakan wartawan di Utusan Melayu.

Dalam pada itu penasihat undang-undang PAS Mohamed Hanipa Maiden berkata, PAS akan menghantar surat kepada Zainudin bagi meminta bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan itu memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnahnya terhadap parti tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Guaman PAS memberitahu, jika Zainuddin tidak berbuat demikian, PAS akan memfailkan saman selepas Aidilfitri.

“Saman ini akan difailkan atas nama Setiausaha Agung PAS,” kata Hanipa lagi.

“PAS, minggu lalu, mengeluarkan kenyataan meminta Zainuddin meminta maaf tetapi sehingga kini beliau enggan memohon maaf, kami tiada pilihan selain mengambil tindakan ke atas beliau,” katanya.

“Semalam Zainuddin mengeluarkan kenyataan mempertahankan apa yang diperkatakan, PAS merasakan ia satu fitnah, pembohongan dan menjejaskan imej PAS,” katanya.

Hanipa memberitahu, surat tuntutan akan dihantar untuk meminta Zainuddin memohon maaf dan menarik balik kenyataan serta membayar ganti rugi.

“Kami juga akan memohon injunksi melarang Zainuddin daripada mengeluarkan kenyataan seperti ini pada masa depan,” katanya lagi.

Selain Zainuddin, kata Hanipa, beberapa akhbar yang menyiarkan kenyataannya akan dinamakan sebagai defendan dalam kes ini.

Beberapa laporan polis telah dibuat oleh PAS di seluruh negara bagi membantah kenyataan Zainuddin itu.

Menurut Hanipa, kenyataan Zainuddin itu adalah fitnah yang sangat jahat dan tidak bertanggungjawab terhadap PAS tambahan pula ia dibuat ketika bulan Ramadan.

Beliau juga mendapati kenyataan itu memutarbelitkan fakta sejarah. MI

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");