Berita Hari Ini
Like

Pas perlu jelaskan kepada rakyat

September 22, 2010
280 Views
0 Comments
2 minutes read
Pas perlu jelaskan kepada rakyat

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Pihak berkuasa digesa menyiasat dengan segera ‘sumbangan’ RM4 bilion oleh syarikat I’DA World Group Sdn. Bhd. (I’DA World) kepada Pas Kelantan.

Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, adalah sesuatu yang mengejut dan meragukan apabila sebuah syarikat sanggup ‘mendermakan’ sebegitu besar wang tunai.

Sambil menyifatkan ‘kemurahan hati’ syarikat tersebut sebagai pertama kali dalam sejarah Malaysia, beliau turut mempersoalkan adakah sumbangan berkenaan sebagai satu rasuah yang diamalkan oleh Pas.

“Pihak berkuasa seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat syarikat ini dan kerajaan Pas Kelantan kerana jumlah sumbangan itu menimbulkan pelbagai persoalan.

“Pas Kelantan perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa sebuah syarikat begitu bermurah hati mahu mendermakan RM4 bilion kepada mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang memetik I’da World sebagai berkata, sumbangan RM4 bilion itu bertujuan membangun dan menambah baik infrastruktur di sempadan Rantau Panjang, Kelantan.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif I’DA World, Abdul Rahim Abdul Wahab menafikan sumbangan itu mempunyai kaitan dengan projek mega Seri Tujuh di Tumpat, Kelantan yang bernilai RM313.71 bilion yang dimenangi oleh syarikat tersebut.

Menurut Mohd. Zahid, SPRM perlu menyiasat sama ada wujud unsur rasuah atau tidak dalam pemberian ‘sumbangan’ berkenaan kerana sumbangan dibuat atas nama Pas Kelantan dan bukannya kerajaan negeri.

Tambahnya, jika benar ‘sumbangan’ itu bertujuan membangunkan kawasan persempadanan Rantau Panjang dan tiada kaitan dengan penganugerahan projek Seri Tujuh, derma itu sepatutnya dibuat atas nama kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, beliau mahu LHDN menyiasat sama ada syarikat terbabit menjelaskan cukai pendapatan seperti sepatutnya memandangkan, I’DA World berkemampuan untuk menderma sebanyak RM4 bilion.

“Jika I’DA World mampu menderma sehingga RM4 bilion, sudah pasti cukai pendapatan yang sepatutnya dijelaskan juga tinggi, tetapi persoalannya adakah syarikat ini melaksanakan tanggungjawab berkenaan,” soalnya.

Mengenai penafian Exco kerajaan negeri, Datuk Nik Amar Abdullah yang mendakwa kononnya projek Seri Tujuh tidak pernah dibincangkan secara rasmi oleh kerajaan Pas Kelantan, Mohd. Zahid berkata, Exco tersebut cuba memperbodohkan rakyat Kelantan.

Jelasnya, adalah mustahil Nik Amar selaku Exco kerajaan negeri tidak mengetahui tentang penganugerahan projek berkenaan kerana ia membabitkan kos RM313.71 bilion.  UTUSAN MALAYSIA

Komen & Pendapat

Leave a Reply