Berita Hari Ini

PDRM Lancar Pusat Media Atasi Masalah Laporan Berita

KUALA LUMPUR: Bagi mengatasi masalah dan salah faham berkaitan laporan berita dan kes-kes jenayah di seluruh negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa melancarkan pusat media sebagai langkah menangani perkara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata dengan penubuhan pusat media yang mengendalikan laman web rasmi dan laman sosial Facebook PDRM itu, pengamal media dapat bekerjasama dengan polis dalam menyalurkan berita-berita yang tepat, sahih, benar dan cepat kepada masyarakat.

“Melalui pusat media ini, saya percaya pihak media dan PDRM boleh menjalinkan kerjasama bagi menyampaikan hasrat agar berita dapat disalurkan dengan telus dan tidak dibelenggu dengan apa-apa masalah antara media dan PDRM,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Media PDRM yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Bukit Aman di sini.

Beliau berkata penubuhan pusat media itu juga mencerminkan bahawa PDRM fokus dan komited dalam menyampaikan maklumat yang perlu diketahui rakyat.

Pusat media itu dikendalikan oleh pegawai-pegawai terpilih dari cawangan Perhubungan Awam, Bukit Aman yang mempunyai kemahiran dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam.

Katanya selain berita dan kes jenayah, masyarakat juga boleh mengetahui aktiviti ‘community policing’ yang diadakan di kawasan kediaman mereka menerusi portal Facebook PDRM yang julung kali diperkenalkan itu.

“Facebook sebagai medium baru untuk mendekati masyarakat, di mana sudah tiba masa polis melaksanakan strategi ofensif daripada defensif dalam hubungan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan PDRM,” katanya.

Beliau berkata pendekatan ‘Facebook’ juga dilihat mampu memecah dinding halangan dan persepsi negatif yang terbentuk di kalangan segelintir masyarakat terhadap polis. BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");