Berita Hari Ini

Pemilihan PKR Diselubungi Isu Nepotisme

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan November ini, telah menarik banyak perhatian termasuk daripada kalangan dalam dan luar parti, dengan isu-isu seperti nepotisme, serangan peribadi sehingga dinasti politik.

Keputusan Nurul Izzah Anwar, anggota Parlimen Lembah Pantai untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan akan datang telah menimbulkan pelbagai pendapat mengenai nepotisme dan demokrasi dalam parti.

Mereka menegaskan hakikat yang Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Penasihat PKR, isteri Anwar dan ibu Nurul Izzah, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden parti dan kini anaknya itu mensasarkan satu daripada jawatan naib presiden.

Penganalisis politik terkemuka dan bekas timbalan presiden parti, Dr Chandra Muzaffar berkata ini hanya membuktikan bahawa prinsip parti itu adalah jauh menyimpang dengan apa yang diamalkannya.

“Saya fikir ini berupa nepotisme politik…ia menunjukkan secara asasnya Anwar mahu mengawal parti sepenuhnya…beliau mahu memastikan parti itu wujud untuk dirinya,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Chandra, Profesor Kajian Global di Universiti Sains Malaysia, juga berkata PKR sebenarnya merupakan wadah untuk memenuhi impian Anwar untuk menjadi perdana menteri negara ini.

“PKR tiada kena mengenai dengan slogan yang ia dakwa iaitu untuk memperjuangkan demokrasi, kesamarataan dan keadilan sosial,” katanya.

Dr Sivamurugan Pandian, penganalisis politik di USM, berkata sepatutnya Nurul Izzah bertanding jawatan lain seperti jawatan anggota Majlis Tertinggi.

“Beliau mungkin mempunyai semua kelayakan. Tetapi pastinya dengan bertanding jawatan naib presiden akan menimbulkan hujahan ini (mengenai nepotisme dan dinasti politik)…kerana gandingan tiga ahli keluarga, jika Nurul menang pada pemilihan, saya fikir ini akan meletakkan parti di bawah kuasa mutlak Anwar,” katanya.

Katanya dengan kemasukan Nurul Izzah dalam barisan jawatan tertinggi, parti dan Anwar tidak dapat lari daripada kritikan dari dalam dan luar parti. “Ini juga akan memberi kesan terhadap kesahihan PKR sebagai sebuah parti politik,” katanya dan menurutnya sudah terdapat banyak tuduhan mengenai politik puak-puak dalam parti menjelang pemilihan.

Setakat ini, 20 orang telah sama ada menyatakan hasrat atau menerima pencalonan untuk bertanding empat jawatan naib presiden, termasuk Ketua PKR Johor Datuk Chua Jui Meng, anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan, anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam dan Ketua Pemuda Shamsul Iskandar.

Nurul Izzah, yang pada awalnya menyatakan beliau tidak berhasrat bertanding bagi mana-mana jawatan, menukar fikirannya semalam selepas menerima lapan pencalonan, menyatakan keputusan beliau itu sebagai menghormati kehendak anggota parti.

Sementara itu, pengarah strategik PKR Tian Chua berkata PKR adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan menafikan wujud nepotisme dan dinasti politik dalam parti itu.

Tian Chua berkata Nurul Izzah berhak bertanding atas kapasiti sendiri dan menurutnya anggota Parlimen Lembah Pantai itu perlu membuktikan kewibawaan dirinya untuk mendapatkan sokongan dan dipilih. “Saya tidak fikir sesiapa pun boleh mengawal atau mempengaruhi keputusan (anggota)…kami telah merumuskan sistem pemilihan yang dengan sendirinya telah mengurangkan nepotisme dan favouritsme,” katanya.

Cabang-cabang PKR telah mengadakan mesyuarat sejak minggu lepas dan kesemua 218 cabangnya dijadual menyelesaikan pencalonan masing-masing menjelang 3 Oktober Parti menetapkan 10 Oktober sebagai tarikh akhir bagi pencalonan.

Pemilihan bagi jawatan pemimpin tinggi PKR akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 21 November manakala kongres kebangsaan parti pada 26-28 November. -BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");