Berita Hari Ini

Pemuda Umno, Perkasa serah Kedutaan Indonesia memo bantah

KUALA LUMPUR, 3 Sept — Pemuda Umno dan Perkasa hari ini meyerahkan memorandum kepada Kedutaan Indonesia di sini hari ini membantah protes rakyat negara jiran itu, anjuran kumpulan Bendera yang turut membakar Jalur Gemilang.

Barisan pemimpin Pemuda Umno dan Perkasa bersama Gerakan Belia 4B berhimpun di pekarangan Kedutaan Indonesia sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil keduataan Widyarka Ryananta.

Bendera baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di pekarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Kelmarin, sekumpulan pelajar yang mendakwa mewakili Gerakan Mahasiswa Hukum Jakarta (Gerakan Mahasiswa Undang-undang Jakarta) bertindak mengotorkan bendera Malaysia dengan telur sebelum membakar dan melontarkan Jalur Gemilang yang terbakar sebahagiannnya itu ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia.

Dalam demonstrasi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau baru-baru ini, mereka turut melontar telur dan ikan masin busuk ke dalam kawasan kedutaan besar itu selain mengotorkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia itu dengan tepung gandum dan ikan masin busuk.

“Ini kelihatan menjadi acara tahunan. Setiap kali Indonesia menyambut ulang tahun hari kemerdekaan, kejadian macam ini berlaku,” kata Ketua Umno Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar.

“Kami meminta kepimpinan Indinesia menghentikan perkara macam ini dengan serta merta dan mengenal pasti dalang di belakang tindakan Bendera,” katanya.

Exco Pemuda Umno Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menambah, pemuda Melayu terpaksa bertindak ekoran demonstrasi kali kedua kelmarin.

Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanifah pula menggesa pihak berkuasa Indonesia mengenal pasti satu penyelesaian dalam tempoh dua minggu demi menghormati hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

Di George Town, dua bekas komando Angkatan Tentera Malaysia, yang kecewa dengan sikap segelintir rakyat Indonesia membakar bendera Jalur Gemilang, bertindak menyerahkan memorandum kepada Konsulat Indonesia hari ini.

Othman Abdul Majid, 58, dan Saad Din, 60, turut menyerahkan bendera negara Indonesia sebagai tanda menghormati negara berkenaan dan mahukan rakyatnya juga menghormati bendera negara lain.

Othman berkata tindakan yang dilakukan segelintir rakyat Indonesia itu adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menggugat keharmonian hidup antara kedua-dua negara dan hubungan yang sudah sekian lama terjalin.

“Kami rasa terhina dengan tindakan segelintir rakyat Indonesia yang diupah untuk melakukan perkara itu. Apakah sebenarnya motif dan objektif yang mereka inginkan?” soalnya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum di pejabat Konsulat Indonesia hari ini.

Sejak minggu lepas, sekumpulan rakyat Indonesia agresif melakukan protes berbentuk provokasi dan penghinaan ke atas kedutaan, Jalur Gemilang serta kepentingan Malaysia di Jakarta bagi membantah penahanan tiga anggota penguatkuasa marin negara itu oleh polis Malaysia.

Memorandum berkenaan diterima oleh Kepala Fungsi Ekonomi, Penerangan dan Sosial Pejabat Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Izrani Ratini.

Sementara itu, Izrani berkata beliau akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada pejabat kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");