Perak Hari Ini

Penggunaan kepala surat amalan biasa: MB

IPOH: Penggunaan surat lampiran yang mempunyai kepala surat Pejabat Menteri Besar Perak adalah amalan biasa dalam pentadbiran bukan saja di negeri itu, malah diamalkan agensi di bawahnya atau jabatan Kerajaan Persekutuan dalam membuat tindakan susulan terhadap sesuatu permohonan atau bagi tujuan menangani pelbagai perkara membabitkan pentadbiran.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata surat berkenaan tidak bermaksud sokongan atau arahan supaya jabatan atau agensi berkenaan menganugerahkan kontrak kepada individu atau syarikat tertentu.

Katanya, amalan surat lampiran itu tidak menyalahi peraturan dan amalan berkenaan juga berlaku semasa pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak selama 11 bulan bermula Mac 2009.

“Pejabat Menteri Besar atau Pejabat Exco memang mengeluarkan surat lampiran ini kerana setiap Selasa, kita bertemu rakyat atau setiap kali turun padang, orang ramai memberi surat kepada saya atau Exco.

“Pegawai saya akan memanjangkan surat ini ke jabatan atau agensi berkenaan supaya mereka maklum perkara ini sudah diketahui Menteri Besar atau Exco.

“Ini tidak salah kerana kita bukannya mengeluarkan surat sokongan yang mengarahkan pemberian sesuatu kontrak kepada pihak tertentu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Taiping yang juga Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa Pegawai Khas Menteri Besar, Azhar Ahmad menyalahguna kuasa dengan mengeluarkan surat sokongan bagi pengambilan tanah di Segari untuk membina jalan baru.
Zambry berkata, pemimpin pakatan pembangkang perlu berhenti membuat dakwaan tidak berasas untuk mengelirukan orang ramai atau menutup kelemahan mereka sendiri.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mendedahkan kepincangan kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini jika pemimpin mereka terus membuat tuduhan tanpa bukti kukuh.

“Pejabat Menteri Besar ketika di bawah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pernah mengeluarkan surat sokongan individu tertentu bagi mendapatkan permit mengambil dan memindahkan batu-batuan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");