Perak Hari Ini

Perak peruntuk RM258,000 skim mikro kredit

IPOH 1 Sept. – Kerajaan negeri memperuntukkan RM258,000 untuk pemberian skim mikro kredit di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan sebagai satu pendekatan membantu serta menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian pinjaman tanpa had serendah RM1,000 kepada 50 orang dalam kumpulan pertama daripada pelbagai kaum diharap dapat memperkasa ekonomi mereka menerusi pembabitan dalam sektor perniagaan, penternakan, perikanan dan pertanian.

“Pendekatan pembiayaan mikro kredit diselaraskan oleh Prof. Sukor Kasim dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan antara yang pertama memperkenalkan skim tersebut di Malaysia.

“Saya berharap tiada pihak yang cuba memanipulasi atau mempolitikkan perkara ini kerana kita memberikan pinjaman ini tanpa mengenakan sebarang faedah mahupun cagaran kerana kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan cek pembiayaan mikro kredit (Skim Ibu) diikuti majlis berbuka puasa di kediamannya di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Perladangan negeri.

Dalam pada itu, Sukor yang juga Profesor Mikro Kredit di Pusat Pengajian Pembangunan Wanita USM berkata, selain mengesan penerima yang layak melalui data e-Kasih, pihaknya juga membina blog termasuk turun ke kampung-kampung untuk menilai mereka yang berpotensi membina semula ekonomi keluarga.

Beliau berkata, matlamat utama pembiayaan tersebut adalah untuk memastikan golongan miskin tegar mempunyai punca pendapatan tetap dan mampu menyara keluarga mereka secara berterusan.

“Misalnya, kalau nelayan dia memerlukan sampan, enjin dan pukat. Sekiranya kita hanya memberikan RM1,000 kepadanya, ia tidak cukup untuk menjana pendapatan keluarga yang lestari.

“Kita menjangkakan akan mengeluarkan pinjaman sebanyak dua kali pada setiap bulan bagi membantu golongan miskin tegar di setiap daerah supaya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Tambah beliau, proses pembayaran balik adalah perkara kedua iaitu selepas mereka berjaya menjana pendapatan tetap melalui bayaran pada setiap bulan selama lima tahun mengikut kemampuan masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");